Perpaduan menang 29 kerusi, Kon Yeow angkat sumpah sebagai Ketua Menteri esok

Admin

GEORGE TOWN – Seperti dijangka, Pakatan Harapan (PH) bersama-sama rakan politik baharunya, Barisan Nasional (PH) kekal mendapat mandat rakyat bagi menubuhkan Kerajaan Perpaduan Pulau Pinang dengan majoriti dua pertiga.

Kira-kira 10.15 malam, Pengerusi PH negeri, Chow Kon Yeow berkata bahawa keputusan tidak rasmi Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang Ke-15 menyaksikan Perpaduan memenangi 29 daripada 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (KADUN).

“Perpaduan telah menang 29 kerusi, ini bukan sahaja cukup untuk menubuhkan Kerajaan Perpaduan Pulau Pinang, malah berjaya mendapat majoriti dua pertiga.

“Esok (13 Ogos 2023), saya akan mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri yang baharu seperti diputuskan oleh pimpinan (PH dan BN).

“Saya akan mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri baharu,” jelasnya yang juga Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Pulau Pinang di Pusat Penjumlahan Undi Perpaduan di sini pada 12 Ogos 2023.

Difahamkan, DAP berjaya mempertahankan kemenangan di semua 19 kerusi yang dipertandingkan.

Sementara itu, Parti Keadilan Rakyat (PKR) menang di tujuh kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Kebun Bunga, Pantai Jerejak, Batu Uban, Batu Maung, Machang Bubuk, Bukit Tengah dan Bukit Tambun.

Parti Amanah Negara (Amanah) pula menang satu kerusi di DUN Bayan Lepas.

BN menang dua daripada enam kerusi yang ditandingkan iaitu Bertam dan Sungai Acheh.