Perpustakaan Permainan di Balik Pulau

Admin

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

BALIK PULAUSatu lagi Perpustakaan Permainan dibuka di sini baru-baru ini hasil inisiatif Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan badan bukan kerajaan (NGO), Sim Children & Klinik Jantung Kanak-Kanak.

Exco Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Lalulintas, Chow Kon Yeow berkata, usaha mewujudkan Perpustakaan Permainan dapat menyemarak hubungan harmoni kanak-kanak dengan ibu bapa masing-masing.

“Permainan digital internet dipercayai boleh mengakibatkan gejala sosial dalam kalangan kanak-kanak jika tiada kawalan daripada ibu bapa. Tetapi, alat permainan di perpustakaan ini adalah sangat selamat dan tak boleh mendedahkan kanak-kanak pada perkara negatif.

“Pada masa sama, kanak-kanak akan lebih mesra dan harmoni dengan ibu bapa mereka masing-masing di sini (Perpustakaan Permainan),” ujar beliau di Dewan MPPP di sini baru-baru ini.

Majlis perasmian Perpustakaan Permainan yang sepatutnya dirasmikan oleh Presiden Pertubuhan Wanita Pulau Pinang, Betty Chew (isteri Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng) diwakili oleh Kon Yeow.

Sebelum itu, Dr. Sim Joo Seng selaku penasihat projek merangkap wakil NGO berkenaan berkata, idea mewujudkan Perpustakaan Permainan direalisasikan sejak dua tahun lepas.

Kini, katanya lagi, terdapat 17 Perpustakaan Permainan di seluruh Pulau Pinang sungguhpun pihaknya mensasarkan untuk menubuhkan 20 perpustakaan menjelang akhir Julai ini.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada MPPP kerana mengenakan sewa dewan Perpustakaan Permainan serendah RM10 sebulan. Pada masa sama, rakaman penghargaan turut diberikan kepada industri makanan, Pasific West kerana menaja majlis perasmian itu.

Perpustakaan Permainan Balik Pulau dibuka tiga hari seminggu, iaitu pada hari Rabu bermula jam 3.30 petang hingga 6.00 petang, Sabtu (1.30 petang hingga 4.30 petang) dan Ahad (10.30 petang hingga 1.30 petang).

CHOW Kon Yeow (kanan sekali) menemani seorang kanak-kanak bermain bola pada Majlis Pelancaran Perpustakaan Permainan di Balik Pulau di sini baru-baru ini.
CHOW Kon Yeow (kanan sekali) menemani seorang kanak-kanak bermain bola pada Majlis Pelancaran Perpustakaan Permainan di Balik Pulau di sini baru-baru ini.