MPSP jadi mangsa khianat siber

Admin

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

PERDAMajlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dengan kerjasama Telekom Malaysia (TM) sedang mengambil langkah pembaikan dan berjaga-jaga bagi membendung kejadian ‘serangan’ sistem rangkaian menggunakan modus operandi Denial Of Service (DOS) oleh pihak tidak bertanggungjawab sebagaimana yang berlaku baru-baru ini di sini.

STEVEN Sim Chee Keong.
STEVEN Sim Chee Keong.

Ahli Majlis MPSP, Steven Sim Chee Keong berkata, ekoran kejadian pada 21 Jun lalu yang sama sekali ‘melumpuhkan’ sistem rangkaian MPSP, pihak berkuasa tempatan terbabit kini sedang menjalankan kerjasama dengan penyedia rangkaian, TM bagi memastikan kejadian tersebut daripada berulang.

“Malah, terdapat juga kemungkinan kami (MPSP) akan melaporkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung perkara ini,’’ katanya dalam satu kenyataan di sini baru-baru ini.

Pada 21 Jun lalu, jalur rangkaian MPSP didapati sesak dengan kemasukan protokol internet (IP) yang tidak dikenali sehingga menyebabkan para pengguna gagal melayari laman web MPSP. Malah, emel luaran serta kakitangan MPSP turut tergendala.

Antara perkhidmatan-perkhidmatan lain yang turut terjejas adalah pembayaran dan penilaian dalam talian, membuat aduan, pemeriksaan status serta lesen, permohonan tender serta kemudahan rekreasi MPSP.

Kata Chee Keong, beliau tidak menolak kemungkinan bahawa kejadian tersebut adalah bermotifkan politik.

“Ini kerana, pada hari sama, laman web Malaysiakini dan parti DAP turut menerima nasib yang sama,’’ jelasnya lagi.