Persatuan Bomba Sukarela Batu Maung perlu dana RM405,800

Admin

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Penubuhan Persatuan Bomba Sukarela Batu Maung dilihat amat mustahak memandangkan Balai Bomba dan Penyelamat paling hampir dengan kawasan Batu Maung adalah di Jalan Tengah iaitu kira-kira 30 minit perjalanan ke Batu Maung.

Kenyataan tersebut dinyatakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung, Datuk Abdul Malik Abul Kassim pada majlis sidang media di sini baru-baru ini.

Katanya, bomba sukarela adalah barisan hadapan saat berlakunya krisis ataupun bencana.

“Mereka (bomba sukarela) adalah orang pertama yang akan datang membantu umum saat berlakunya bencana.

“Mereka akan membantu sementara pasukan Bomba dan Penyelamat tiba,” jelas beliau.

Abdul Malik memberitahu, kini persatuan yang beribupejabat di Hadapan No. 25 (U1), Lebuh Raya Batu Maung, Taman Iping di sini dalam usaha mengumpul dana sejumlah RM405,800 untuk membeli kelengkapan bagi kerja-kerja penyelamatan.

“InshaAllah, Kerajaan Negeri akan cuba membantu di samping ehsan orang awam.

“Persatuan Bomba Sukarela Batu Maung adalah pasukan bomba sukarela yang pertama ditubuhkan bagi daerah Barat Daya,” katanya yang juga merupakan Exco Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Dalam pada itu, jurucakap Persatuan Bomba Sukarela Batu Maung, Tan Ah Lay yang juga merupakan seorang bekas ahli bomba berkata, sehingga hari ini, seramai 40 ahli bomba sukarela telahpun mengikuti kursus dan memperoleh sijil dari Jabatan Bomba dan Penyelamat.

“Kini, kita telah mempunyai lebih daripada 100 ahli bomba sukarela yang sedia membantu pasukan bomba melakukan kerja-kerja menyelamat.

“Seperti semua maklum, Batu Maung mempunyai 20,000 penduduk dan kebanyakan mereka tinggal di rumah papan,” ujar beliau.

Persatuan Bomba Sukarela Batu Maung telah didaftarkan di bawah Akta Pertubuhan 1966 Peraturan-peraturan Pertubuhan 1984 pada 7 Mac 2013 lalu. Turut hadir, Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin.