Persatuan Karyawan harap berkolaborasi capai visi Penang2030 melalui muzik

GEORGE TOWN – Persatuan Karyawan Malaysia Cawangan Pulau Pinang diketuai Exco Utara, Mohd. Mazlan Ayob harap dapat berkolaborasi bersama-sama Kerajaan Negeri dalam manjayakan visi Penang2030 melalui seni muzik.

Perkara tersebut disuarakan beliau dalam kunjungan hormat terhadap Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow pagi tadi bersama-sama enam ahli lain.

“Selain itu, kami juga berharap memperoleh pengiktirafan daripada Kerajaan Negeri ekoran beberapa sumbangan yang disumbangkan sebelum ini antaranya, menghasilkan karya lagu dalam menyokong penggazetan Ulu Muda sebagai kawasan tadahan.

“Pada masa sama, adalah menjadi harapan kami supaya Kerajaan Negeri dapat memberi sokongan terhadap pelaksanaan projek konsert yang sedang dirancang di Fort Cornwallis (Padang Kota) dan SPICE Convention Centre iaitu mengumpulkan barisan karyawan seni muzik tanah air serta Pulau Pinang,” ujarnya.

Kon Yeow dalam responsnya mengalu-alukan kerjasama antara Kerajaan Negeri dan persatuan tersebut yang mana ia melibatkan kepentingan utama seperti Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dan sektor pelancongan negeri.