Persatuan Kebajikan Pekerja Islam MPSP anjur forum, gembleng kesedaran komuniti kurang jana sampah 50%

Admin

SEBERANG JAYA – Lebih 500 hadirin menyertai Forum Dhuha Sempena Perayaan Hari Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) Ke-44, anjuran Persatuan Kebajikan Pekerja Islam MPSP (PERMAI) di Pasar Raya Mydin Bukit Mertajam pada pagi 21 Julai 2018.

Yang di-Pertua Majlis, Dato’ Sr. Rozali Mohamud memberitahu, beliau berharap forum berjudul Kebaikan Di Dunia, Kebaikan Di Akhirat: Man Jadda Wa Jadda turut dapat menggembleng kesedaran komuniti terhadap peri penting mengurangkan penjanaan sampah di bahagian Seberang Perai.

Katanya, MPSP berhasrat menjadikan Seberang Perai sebagai Bandar Rendah Karbon Dan Bandar Pintar menjelang tahun 2022, kerana secara langsung membawa faedah penjimatan kira-kira RM23 bilion kepada komuniti setempat.

“Jangan kita hasilkan sampah, sekarang ini setiap penduduk menghasilkan sampah kira-kira 1.6 kilogram (kg) sehari.

“Kita (MPSP) telah mensasarkan 50 peratus sampah-sarap dapat dikurangkan iaitu 0.8 kg sehari.

“Bertepatan dengan forum ini, bercakap Man Jadda Wa Jadda yang bermaksud ‘barangsiapa bersungguh-sungguh pasti akan mendapat hasil’, penduduk setempat dan MPSP saling bekerjasama untuk mengurangkan sampah, impian menjadikan Seberang Perai sebagai Bandar Rendah Karbon Dan Bandar Pintar menjelang tahun 2022 boleh direalisasikan,” jelas beliau.

Penolong Pengarah Bahagian Halal di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP), Ustaz Mohd. Lukmanul Hakim Mokhtar merupakan moderator forum agama pada pagi ini.

Manakala dua panelis forum adalah Pengarah Urusan High Step Consultant, Ustaz Mohd Elyas Ismail serta Pensyarah Fiqh di Pusat Fiqh Kontemporari dan Pematuhan Syariah Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Ustaz Datuk Dr. Mohd. Izhar Ariff Mohd Kashim.

Turut serta, Yang di-Pertua PERMAI, Mohamad Nizam Md. Shariff; Naib Yang di-Pertuanya, Syed Abd Rahman Syed Hashim; dan Ahmad Asrulddin Ahmad Kamaluddin (Setiausaha Kehormat PERMAI).

Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB