Pertandingan Memasak Dalam Taman cungkil bakat & kreativiti bakat muda

Admin
GEORGE TOWN – Seramai 24 pelajar Sekolah Menengah hari ini bersaing di dalam Pertandingan Memasak Dalam Taman yang berlangsung di Taman Bandaraya, Jalan Kuari, pagi ini.
Pengarah Khidmat Kemasyarakatan, Rashidah Jalaludin berkata, pertandingan anjuran  Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) bersama Persatuan Jurumasak Pulau Pinang bertujuan menimbulkan minat suka memasak dalam kalangan pelajar dan pelbagai peringkat umur.
“Ia bukan sahaja platform untuk mencungkil bakat dan kreativiti memasak, tetapi ia memberi peluang kepada bakat-bakat muda untuk menceburi dunia masakan.
“Di (pertandingan) sini, kita bukan sahaja nak cari chef-chef cilik, tapi mereka (peserta) juga boleh belajar apabila setiap masakan yang dihasilkan nanti akan diadili oleh chef berpengalaman selain dapat memperbaiki kualiti masakan mereka,” ujarnya pada pertandingan berkaitan di sini, pagi ini.
Hadir sama wakil Persatuan Jurumasak Pulau Pinang, Chef Thomas See, Sandrasegary (Pengurus Jualan Baba Products (M) Sdn. Bhd. dan Faridzuan Zakeria (wakil Petronas Dagangan Berhad).
Penganjuran berkaitan turut menerima tajaan Baba Products, Petronas dan Enricho’s.
Pertandingan dibahagikan kepada empat kumpulan iaitu sekolah menengah, Institut Pengajian Tinggi (IPT), kanak-kanak dan terbuka.
Tambah Rashidah, bagi kategori sekolah menengah dan IPT diwakili 12 kumpulan, manakala kanak-kanak dan terbuka (11 kumpulan).
“Setiap pasukan dikehendaki menyediakan menu makanan berasaskan ikan keli dan mangga sebagai pencuci mulut.
“Bagi kategori kanak-kanak yang berusia 5 hingga 12 tahun pula, mereka perlu menyediakan sandwich,” ujarnya.