Persatuan sukan perlu beri komitmen terbaik demi perkembangan sukan Pulau Pinang – Exco

Admin

SEBERANG JAYA – Semua persatuan sukan perlu menunjukkan komitmen terbaik sebagai usaha dalam membantu Kerajaan Negeri meningkatkan lagi mutu sukan di negeri ini, kata Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee.

Menurutnya, setiap individu yang dilantik menguruskan persatuan sukan harus memainkan peranan masing-masing supaya organisasi terbabit boleh diuruskan sebaik mungkin.

Pasukan Silver Handball lelaki dan perempuan merangkul juara pada Kojohanan Bola Baling Muda 2019 yang berlangsung dekat Safira Sport Club, semalam.

“Seperti yang saya diberitahu, Persatuan Bola Baling Pulau Pinang merupakan persatuan sukan yang baru didaftarkan setelah persatuan lama tidak aktif selama beberapa tahun.

“Mengikut Akta Sukan, nama persatuan telah berdaftar tidak boleh dipadamkan dan mana-mana pihak yang berniat membangunkan dan memperkembangkan sukan ini haruslah mendaftarkan persatuan baru dengan memasukkan perkataan “Baru” pada nama didaftarkan.

“Perkara seperti ini juga berlaku kepada persatuan sukan lain di negeri ini seperti petanque, kenu dan snooker,” ujarnya semasa berucap pada Majlis Penyampaian Hadiah Sukan Untuk Semua: Kejohanan Bola Baling Muda Pulau Pinang 2019 dekat Safira Sport Club, semalam.

Turut hadir, Presiden Persatuan Bola Baling Pulau Pinang, Mahazir Ahmad dan wakil Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang, Syarifah Shahida Syed Ali.

Difahamkan, seramai 500 orang termasuk pemain dan pegawai menyertai kejohanan tersebut yang merupakan acara Sukan Untuk Semua ketujuh dianjurkan setakat ini.

Pasukan Silver Handball mengungguli kejohanan pada kali ini apabila berjaya merangkul gelaran juara bagi kedua-dua kategori iaitu lelaki dan perempuan.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD