Sumbangan beras kepada warga emas meningkat saban tahun

Admin

PADANG KOTA – Kelab Rukun Tetangga (KRT) Jalan Kedah menyasarkan golongan warga emas untuk menerima sumbangan beras dan angpau setiap tahun sejak 1987.

 

Pegawai Seranta Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Padang Kota, Johny Chee Chong Chew yang hadir mewakili Ketua Menteri berkata, sumbangan seumpamanya telah dimulakan sejak tahun 1987 tanpa gagal dan ia masih diteruskan sehingga kini.

 

“KRT Jalan Kedah tanpa gagalnya telah memberikan sumbangan kepada warga emas saban tahun.

 

“Jika dahulu (1987) hanya 80 penerima sahaja, tetapi kini jumlah tersebut telah bertambah kepada 500 orang,” ujarnya ketika ditemui selepas majlis pemberian beras dan angpau kepada penerima terpilih di sini baru-baru ini.

 

Hadir sama Pengerusi KRT Jalan Kedah, Tay Chye Hock.

 

Pada majlis berkaitan, seramai 400 orang penerima masing-masingnya menerima sekampit beras dan angpau, manakala bakinya (100) menerima angpau sahaja.

 

Difahamkan, dana berkenaan disumbangkan oleh Ketua Menteri dan beberapa pertubuhan yang lain.

 

Pada majlis yang sama, turut diadakan gunting rambut secara percuma kepada golongan berkaitan oleh Hair Impresion.