Persekitaran yang selamat teras utama MBSP dalam Bajet 2023

Admin

SEBERANG JAYA – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) menggariskan 10 keutamaan dalam Bajet 2023 yang dibentangkan oleh Datuk Bandarnya, Dato’ Azhar Arshad.

 


Azhar menjangkakan jumlah pendapatan bagi MBSP pada tahun hadapan adalah berjumlah RM314,599,954 dan perbelanjaan sebanyak RM357,130,824.

 

 

“MBSP meletakkan 10 keutamaan bagi bajet 2023 dengan teras Persekitaran Yang Selamat diberi keutamaan melibatkan perbelanjaan sebanyak RM36.91 juta.

 

 

“Pihak Majlis memperuntukkan sejumlah RM2.2 juta untuk Projek Rendah Karbon bagi penukaran semua lampu jalan sedia ada kepada  lampu LED yang akan memberi penjimatan 60 peratus penggunaan elektrik.

 

 

“Sejumlah RM2 juta diperuntukkan bagi penyelenggaraan lampu jalan manakala RM13.5 juta bagi membayar bil-bil lampu awam,” ujar beliau dalam Pembentangan Bajet 2023 dekat Menara Bandaraya di sini pagi tadi.

 

 

Turut hadir, Setiausaha Bandaraya bagi MBSP, Baderul Amin Abdul Hamid; Ahli-ahli Majlis MBSP dan ketua-ketua Jabatan.

 

 

Perkara lain yang turut dimasukkan dalam teras pertama termasuk penyewaan kamera litar tertutup (CCTV) sebanyak RM0.78 juta, pemasangan CCTV di Taman Bagan dan Kawasan Perindustrian Perai (RM0.7 juta), penghapusan kacau ganggu burung gagak RM0.2 juta serta pembelian motosikal baharu untuk kemudahan warden trafik (RM120,000).

 

 

Keutamaan teras kedua bagi MBSP dalam Bajet 2023 adalah kemudahan infrastruktur yang berkualiti dengan peruntukan RM20.06 juta yang merangkumi penyelenggaraan pasar-pasar awam dan kompleks makanan, pembayaran bil-bil utiliti serta subsidi RM1,000 kepada pengurusan atau persatuan yang berminat menguruskan tandas awam di pasar.

 

 

“MPSP juga akan menggunakan Wang Sumbangan Menggantikan Penyediaan Kemudahan Awam sebanyak RM17.54 juga pada tahun 2023.

 

 

“Kerja-kerja naik taraf hard court Lebuh Kampung Benggali, Butterworth benilai RM0.3 juta membabitkan tempat letak kereta dan gelanggang serba guna akan dilaksanakan,” ujar Azhar lagi.

 

 

Mengulas lanjut, tujuh lagi teras Bajet 2023 adalah melibatkan Gaya Hidup Sihat (RM12.57 juta), Pembangunan Hijau dan Persekitaran Bersih (RM123.58 juta), Penerapan Teknologi Baharu (RM13.94 juta) dan Ekonomi Bandar Berdaya Saing (RM26.68 juta).   

 

 

Sementara itu, RM4.73 juta akan digunakan bagi teras Memperkukuh Budaya dan Warisan, Bandar Berdaya Tahan dan Berdaya Huni (RM95.78 juta), Keterlibatan Komuniti (RM6.52 juta) dan Pembangunan Bandar Inklusif dan Saksama diperuntukkan sebanyak RM16.36 juta.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD