Persekutuan diharap bantu lebih ramai peniaga – Jagdeep

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Persekutuan diharap dapat mempertimbangkan pemberian bantuan kepada lebih ramai peniaga yang terjejas akibat penularan pandemik COVID-19 sejak setahun lalu.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, di pihak Kerajaan Negeri sebanyak tiga fasa bantuan telah diumumkan sejak tahun lalu bagi membantu golongan terjejas termasuklah golongan peniaga di negeri ini.

“Tempoh masa sukar ini bukan mudah untuk semua (rakyat) melaluinya, tambahan kepada golongan peniaga tidak mudah untuk mereka.

“Kita (Kerajaan Negeri) berharap lebih bantuan dipertimbang dan dihulurkan kepada peniaga khususnya sebagaimana yang mereka (Persekutuan) nyatakan sebelum ini untuk membantu, jadi diharap mereka benar-benar bantu peniaga,” ujarnya ketika mengadakan pemeriksaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di Pasar Awam Jalan Kuantan, di sini sebentar tadi.

Hadir sama Ahli Parlimen Jelutong, R.S.N. Rayer, Pengarah Bahagian Pelesenan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Rashidah Jalaludin dan wakil peniaga pasar berkenaan.

Di sidang media yang sama, Jagdeep mengulangi pendirian beliau agar melindungi wira barisan hadapan dalam kalangan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Kerajaan Tempatan melalui pemberian vaksin.

“Kerajaan Negeri Pulau Pinang di kedua-dua PBT mempunyai tanggungjawab besar di mana kira-kira 5,000 kakitangan yang bekerja di lapangan ini perlu dilindungi.

“Mereka setiap hari berada di lapangan untuk menjaga keselamatan awam. Dan untuk memastikan mereka dan keluarga kekal sihat dan selamat, saya berjuang agar wira-wira kita ini diberikan keutamaan sama untuk mendapatkan suntikan vaksin,” ujar beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat.

Berdasarkan perkembangan semasa membabitkan penularan wabak COVID-19 dalam kalangan pelajar sekolah, Jagdeep sebagai respons berharap pemberian vaksin juga dipanjangkan buat keseluruhan warga pendidik di Pulau Pinang.

“Demi keselamatan para guru dan juga anak-anak kita, diharap guru-guru di negeri ini juga dipertimbangkan pemberian suntikan vaksin dan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu memperketatkan SOP di sekolah,” tegas beliau.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : CHAN KOK KUAN