MBPP buka permohonan bagi penganjuran bazar Ramadan

Admin

GEORGE TOWN –Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) membuka permohonan bagi mereka yang ingin menganjurkan pasar atau bazar Ramadan di kawasan seliaan pihak berkuasa tempatan itu mulai 19 Mac 2021.

Ahli Majlis bagi MBPP, Ahmad Azrizal Tahir berkata, borang permohonan lengkap boleh dikemukakan secara dalam talian melalui laman sesawang elesen.mbpp.gov.my dengan memuat naik dokumen-dokumen diperlukan iaitu salinan kad pengenalan dan pelan lokasi.

Ahmad Azrizal Tahir semasa mengadakan sidang media semalam.

“Kelulusan akan diberikan berdasarkan ‘tiba dahulu layan dahulu’ dan dihadkan kepada 30 penganjur sahaja.

“(Dan) memandangkan Pulau Pinang masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pihak Majlis telah menetapkan beberapa syarat baru bagi memastikan rantaian penularan COVID-19 diminimumkan semasa penganjuran bazar Ramadan.

“Antara penambahan syarat yang ditetapkan adalah pelanggan mesti mendaftar melalui MySejahtera, alat kawalan suhu (disediakan), kesesakan di dalam gerai perlu dikawal oleh peniaga atau dengan melantik Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) atau lain-lain agensi.

“Selain itu, jarak di antara gerai jualan adalah mesti dua meter dan hanya dibenarkan bungkus sahaja,” katanya pada sidang media semalam.

Ahmad Azrizal berkata, bazar Ramadan akan dibenarkan beroperasi dari 3.00 petang hingga 7.30 malam, sementara pasar malam menjelang Aidilfitri pula akan beroperasi dari 10 malam hingga 12 tengah malam, tertakluk kepada perubahan yang dilakukan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MBPP