Restoran dalam kapal mewah Costa Victoria terima sijil halal

GEORGE TOWN – Restoran Pizzeria La Tavernette di atas sebuah kapal berkonsepkan Itali dikenali, Costa Victoria memperoleh pensijilan Halal Malaysia baru-baru ini.

Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim memberitahu, sebelum ini, kapal mewah, Star Cruises turut menerima pensijilan Halal Malaysia pada tahun 2013.

Justeru katanya, pensijilan tersebut menyumbang kepada perkembangan industri pelancongan, khususnya dalam sektor pelayaran.

“Usaha ini adalah selari dengan hasrat Kerajaan Negeri yang ingin menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah destinasi percutian mesra muslim dan sebuah pusat halal global.

“Permintaan terhadap pensijilan halal dalam sektor makanan telah meningkat dengan ketara bukan sahaja melibatkan restoranrestoran makanan di daratan, sebaliknya juga di atas kapal persiaran.

“Malah, ia mampu menarik lebih ramai penumpang muslim tempatan dan antarabangsa di dalam sektor berkaitan (pelayaran),” katanya yang juga Pengerusi Penang International Halal Hub (PIHH) pada Majlis Penganugerahan Pensijilan Halal Malaysia kepada Restoran Pizzeria La Tavernette di atas kapal persiaran Costa Victoria di sini baru-baru ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dan tetamu kehormat, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz menyempurnakan majlis bersejarah berkenaan.

Hadir sama, Exco Pembangunan Pelancongan, Danny Law Heng Kiang, Ng Wei Aik (Ahli Parlimen Tanjung) dan Andrea Bardi (Kapten Costa Victoria).

Dalam pada itu, Nazri dalam ucapannya memberitahu bahawa pensijilan halal yang ‘digalakkan’ di negeri ini sekaligus bakal menggamit lebih ramai pelancong Islam domestik serta antarabangsa ke tanah air.

“Untuk tujuan itu, Pulau Pinang telah mendahului ke arah pembangunan ini sebagai melengkap dan menambahkan status ia yang bukan hanya terkenal sebagai destinasi pelancongan dalam negara, malah juga di rantau ini,” ujar beliau.