Lakukan terbaik walau terima peruntukan terhad

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan terus melakukan yang terbaik bagi memulihara Tapak Warisan UNESCO George Town walaupun menerima pembiayaan terhad daripada Kerajaan Persekutuan untuk tujuan tersebut, kata Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng.

Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Antara Think City Sdn. Bhd. (Think City) dan Aga Khan Trust for Culture (AKTC) yang merupakan agensi kebudayaan kepada Aga Khan Development Network (AKDN) iaitu sebuah syarikat yang bertanggungjawab meluaskan pembangunan manusia – ekonomi – dan sosio budaya di sini baru-baru ini.

Menurutnya, pada tahun 2009, sebanyak RM50 juta diperuntukkan Kerajaan Persekutuan untuk membantu memelihara dan memulihara dua tapak warisan iaitu Melaka dan George Town, Pulau Pinang.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM30 juta telah diserahkan secara terus kepada Kerajaan Negeri Melaka, manakala baki RM20 juta untuk negeri Pulau Pinang diserahkan kepada anak syarikat di bawah Khazanah Nasional Bhd., Think City bagi tujuan pemuliharaan dan pemeliharaan di sini.

“Justeru, kami (Kerajaan Negeri) berharap agar Kerajaan Persekutuan dapat menambah peruntukan sebanyak RM20 juta lagi kepada Think City kerana buat masa ini, peruntukan yang ada hanya berbaki RM2 juta,’’ katanya di sini baru-baru ini.

Ekoran pemeteraian MoU berkenaan, AKTC dan Think City dapat sama-sama berkongsi kepakaran dalam membantu mengintegrasikan kerja serta perancangan awal yang telah dilaksanakan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan profesional ke tahap lebih tinggi.

Pelan strategik tersebut adalah bertujuan mengenalpasti cara-cara untuk melindungi dan meningkatkan keindahan bangunanbangunan bersejarah di negeri ini.

Malah, kerjasama tersebut juga akan bakal membolehkan kedua-dua pihak (AKTC dan Think City) memberi yang terbaik dalam amalan perancangan untuk meningkatkan pembangunan teras masa depan George Town.

Think City diwakili Pengarah Eksekutifnya, Hamdan Abdul Majeed manakala AKTC diwakili Pengarah Urusan, Luis Monreal.

Guan Eng memberitahu, sebanyak 200 projek pertumbuhan semula bandar telah dilaksanakan di bawah Think City’s George Town Grants Program.

“Antara projek-projek ini adalah pemulihan kubah Masjid Kapitan Keling, pemuliharaan Seven Terrace, menaiktaraf rumah Cheah Kongsi, skim penanaman pokok di sepanjang Jalan Carnarvon serta projek pembangunan Little India,” jelas beliau.