Persiapkan modal insan daripada segi kuantiti dan kualiti – TKM I

IR. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman semasa berucap dalam Jelajah Khaira Ummah 2030 (JKU1030) di Masjid Al-Jamiul Badawi, Kepala Batas pada 11 Mac 2022.

BERTAM – Majoriti Melayu dan umat Islam di Pulau Pinang pada hari ini dijangka kian bertambah dalam tempoh 10 tahun akan datang, jika berdasarkan unjuran tahun 2020 yang dibuat oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Sehubungan itu, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berharap ‘Khaira Ummah 2030’ iaitu pelan pembangunan masa hadapan modal insan dalam tempoh sedekad sehingga tahun 2030 dapat mempersiapkan umat Islam dan bangsa Melayu bukan sahaja dari segi kuantiti, malah kualiti.

Beliau yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam, Koperasi dan Pemerkasaan Komuniti berkata demikian semasa berucap dalam program Jelajah Khaira Ummah 2030 (JKU2030) di Masjid Al-Jamiul Badawi, Kepala Batas pada 11 Mac 2022.

“Takkan kita nak membiarkan umat Islam dilihat daripada segi kuantiti sahaja, jadi program ‘Khaira Ummah 2030’ ini diharap dapat menyiapkan umat Islam daripada segi kualiti juga dengan kita memberi penumpuan pada aspek pendidikan modal insan dan sebagainya,” jelasnya yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pinang Tunggal.

Baginya, umat Islam Pulau Pinang pada hari ini perlu sedar tanggungjawab mereka dalam memakmurkan ekonomi negeri serta aspek pendidikan anak masing-masing.

Berdasarkan laporan statistik Bancian Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 yang dibuat DOSM, difahamkan, kecuali daerah Timur Laut, empat daerah lain di Pulau Pinang ketika ini didominasi oleh etnik Bumiputera.

AHMAD Azam Ab Rahman

Pada majlis sama, Datuk Ahmad Azam Ab Rahman (Penasihat Khas Menteri Luar Malaysia di Afghanistan merangkap Timbalan Setiausaha Agung Kesatuan NGO Dunia Islam, UNIW) turut menyampaikan ceramah geopolitik berkaitan perkembangan negara-negara majoriti umat Islam sedunia terutama Turki dan Afghanistan.

Sebelum pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kariah Masjid Al-Jamiul Badawi, Shariful Azhar Othman yang juga bekas ADUN Bertam turut mengalu-alukan program seumpama JKU2030 bagi mempersiapkan modal insan dalam kalangan umat Islam dan Melayu daripada segi kuantiti serta kualiti.

Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB