Persidangan DUN: Ketua Menteri adakan kunjungan hormat terhadap TYT

Admin

DATUK KERAMAT – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow hari ini mengadakan kunjungan hormat terhadap Yang Di-Pertua Negeri (TYT), Tun Dr. Abdul Rahman Abbas bagi mendapatkan perkenan berhubung Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14.

Kon Yeow yang tiba di kediaman rasmi TYT dekat Seri Mutiara kira-kira 3 petang tadi turut ditemani Setiausaha DUN Negeri, M. Maheswari.

Maheswari ketika memaklumkan aturan terkini persidangan DUN Pulau Pinang menyatakan bahawa mesyuarat yang dijadualkan berlangsung pada 17 April ini akan dipendekkan kepada setengah hari tanpa istiadat kawalan kehormat.

“Perasmian persidangan akan dimulakan dengan amanat TYT, disusuli dengan ucapan Ketua Pembangkang, dan Ketua Menteri akan memberikan ucapan berserta pembentangan usul-usul.

“Persidangan DUN akan dijalankan dengan langkah-langkah kawalan ketat dan kesihatan awam yang selamat yang mana kedudukan Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) akan dijarakkan mengikut jarak sosial ditetapkan,’’ jelas beliau pada kunjungan berkaitan.

Mengulas lanjut, Maheswari turut memberitahu bahawa persidangan kali ini hanya akan melibatkan barisan Exco, ADUN, Setiausaha Kerajaan Negeri dan ex-officio sahaja.

“Ia akan dilakukan secara siaran langsung, justeru, ketua-ketua jabatan dan pihak media tidak dijemput kecuali media rasmi, Buletin Mutiara,” ujarnya kepada Abdul Rahman.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : ALISSALA THIAN