Pertandingan Fotografi MBPP bantu promosi kempen hijau, bersih

GEORGE TOWN – Ong Chang Cheng dan Soo Chin Boon diumumkan sebagai juara Pertandingan Fotografi Sempena Pengisytiharan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) 2015 baru-baru ini di sini.

Chang Cheng mewakili Kategori Ahli Pertubuhan Senifoto Pulau Pinang dan Chin Boon Kategori Terbuka masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM3,000.

Pengarah Khidmat Pengurusan MBPP, Mohamed Akbar Mustapha berkata, penganjuran hasil kerjasama dengan Pertubuhan Senifoto Pulau Pinang (PSP) tersebut menerima penyertaan memberangsangkan iaitu 200 penyertaan bagi Kategori Terbuka dan Kategori Ahli Pertubuhan Senifoto Pulau Pinang (100).

“Penyertaan yang diterima menunjukkan ketulenan serta kreativiti yang tidak terbatas.

“Gambar-gambar yang diterima dapat menyampaikan mesej kepada masyarakat tentang kemeriahan dan coretan sepanjang program-program sambutan MBPP yang diadakan di sini.

“Adalah diharapkan gambargambar ini dapat membantu mempromosikan lagi kempen kehijauan, kebersihan, keindahan serta kreativiti di samping mencerminkan seni budaya dan warisan negeri Pulau Pinang,” ujarnya pada Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Fotografi Sempena Pengisytiharan MBPP 2015 di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Presiden PSP, Ooi Kok Chuan.

Hadiah kedua dan ketiga bagi setiap kategori pertandingan berkaitan adalah wang tunai bernilai RM2,000 dan RM1,000. Turut ditawarkan adalah lima hadiah saguhati.