Pertandingan Halaman Rumah Bersih dan Indah didik masyarakat amal gaya hidup lestari – YDP MPSP

Admin

SEBERANG JAYA – Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dengan kerjasama syarikat South Island Garment buat julung kalinya menganjurkan Pertandingan Halaman Rumah Bersih dan Indah Permatang Nibong 2019, di sini.

Yang di-Pertua MPSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud berkata, penganjuran pertandingan berkenaan adalah untuk mendidik penduduk kampung supaya mengamalkan gaya hidup yang lestari.

“Sebab itu kriteria-kriteria yang diambil kira dalam pertandingan ini adalah halaman bersih, penghasilan kompos, penanaman pokok bunga dan sayur-sayuran serta amalan pengasingan sisa di punca.

“Kita (MPSP) percaya walaupun didikan dilaksanakan melalui pertandingan tetapi sekiranya sikap ini diamalkan secara berterusan, ia akan menjadikan kampung-kampung terlibat sebagai kawasan yang lestari.

Rozali menyerahkan anak benih kepada penduduk Kampung Permatang Nibong yang mengambil bahagian dalam Pertandingan Halaman Rumah Bersih dan Indah.

“Kita juga merancang untuk memperluaskan lagi pertandingan ini kepada 24 lagi kampung di Seberang Perai supaya hasrat untuk mencapai status bandar lestari lebih cepat dicapai sebelum tahun 2022,” katanya kepada Buletin Mutiara selepas merasmikan program berkenaan dekat Dewan KAFA Kampung Permatang Nibong, sebentar tadi.

Turut hadir, Pengurus Besar South Island Garment Sdn. Bhd. Lim Eng Chuan; Pengerusi Koperasi Kerjaya Permatang Nibong Berhad, Rosli Ishak; Pengerusi Koperasi Lestari Alam Sekitar Seberang Perai Berhad, Anas Mohd. Kassim; wakil syarikat E-Idaman Sdn. Bhd. serta komuniti setempat.

Mengulas lanjut, Rozali menjelaskan bahawa penganjuran pertandingan tersebut juga mampu meningkatkan indeks kebahagiaan penduduk di Seberang Perai.

“Walaupun kita hanya salah satu bandar di negara ini, Seberang Perai tidak mahu ketinggalan daripada penduduk dunia yang sudah mula memperkenalkan indeks kebahagiaan.

“Hal ini juga sesuai dengan visi Penang2030 “A Family-Focused Green and Smart State” yang menjadi visi Kerajaan Negeri ketika ini,” jelasnya.

Teks & Gambar : SUNARTI YUSOFF