Sasaran produk dan pasaran betul, Komtar boleh kembali pada zaman kegemilangannya – Kon Yeow

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri percaya dengan sasaran produk dan pasaran yang betul, Komtar boleh kembali pada zaman kegemilangannya sekaligus menjadi destinasi serta tarikan utama penduduk setempat.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memberitahu bahawa usaha Kerajaan Negeri yang telah merejuvenasikan semula Komtar menjadikan bangunan ikonik tersebut kini telah dipulihkan sebagai ikon yang sinonim dengan Pulau Pinang.

“Malah, transformasi menara Komtar, The Top kini telah membuahkan hasil dan menyumbang kepada peningkatan jumlah pelancong ke negeri ini saban tahun.

“Saya percaya dengan meningkatkan lagi usaha daripada semua pihak, Komtar boleh terus kekal sebagai tarikan utama, tambahan pula terdapat cadangan untuk membina Pusat Transformasi Bandar (UTC) di dalam Komtar, ia bakal menambahkan lagi banyak tarikan kepada pengunjung,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong ketika merasmikan Karnival Komtar di sini sebentar tadi.

Hadir sama, ADUN Komtar merangkap Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri, Teh Lai Heng, Soon Lip Chee (Exco Belia dan Sukan), Daniel Gooi Zi Sen (ADUN Pengkalan Kota), Ahli-ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Datuk Pua Khien Seng ( Pengerusi Phison).

Karnival Komtar yang dianjurkan buat julung kalinya menyaksikan lebih 200 gerai mengambil bahagian selama tiga hari termasuk e-sport, cosplay, promosi jualan, ruang pameran, booth perkhidmatan agensi kerajaan dan pelbagai lagi.

Ditanya mengenai perancangan Kerajaan Negeri selain merejuvenasikan semula Komtar, Kon Yeow dalam responsnya memberitahu bahawa pada hemah beliau, kajian dan penyelidikan pasaran perlu dilaksanakan.

“Pihak PDC (Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang) dan PDC Setia Urus sememangnya telah mengambil pelbagai inisiatif untuk merejuvenasikan semula Komtar, mungkin impaknya belum nampak tetapi ia telah banyak berubah berbanding beberapa tahun lalu.

“Walau bagaimanapun, banyak perkara perlu dilaksanakan lagi,” jelasnya.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : ALISSALA THIAN