Pertandingan kuiz kualiti air didik pelajar tentang cara penjagaan sungai – Datuk Bandar MBSP

Admin

BUKIT TENGAH – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dengan kerjasama Water Watch Penang (WWP) menganjurkan pertandingan kuiz kualiti air melibatkan pelajar sekolah menengah bagi meningkatkan kesedaran tentang penjagaan sungai di negeri ini.

Datuk Bandar MBSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud berkata, melalui pertandingan tersebut, para pelajar dapat memahami cara menilai kualiti air dan langkah menjaga habitat hidupan air.

Sr. Rozali Mohamud menyampaikan hadiah kepada salah seorang pemenang pertandingan kuiz kualiti air anjuran MBSP dan Water Watch Penang.

“Program ini juga merupakan langkah MBSP untuk menggerakkan kefahaman masyarakat dalam merealisasikan hasrat menjadikan Seberang Perai sebagai bandar raya rendah karbon menjelang 2022.

“Untuk mencapai bandar raya rendah karbon tidak boleh hanya sekadar laungan atau dengan memasang gegantung di pejabat tanpa mengambil sebarang pelan tindakan.

“Justeru, MBSP melancarkan pelan tindakan dengan melibatkan generasi pelapis melalui pemglibatan pihak sekolah yang merupakan saluran terbaik untuk mendidik pelajar,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang-pemenang Pertandingan Kuiz Kualiti Air Sungai dekat Autocity Juru, di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Ahli Majlis bagi MBSP, Tan Cheong Heng dan Heng Yeh Shiuan; Pengarah Urusan Zerex Resources (M) Sdn. Bhd.; Datuk Gu Han Weng; Bendahari Water Watch Penang; Phang Wai Leng serta Pengurus Besar Autocity Group, Gary Teoh Kiang Hong.

Antara pelajar sekolah menengah yang mengambil bahagian.

Dalam perkembangan berkaitan, Rozali memberitahu bahawa MBSP melalui unit Perubahan Cuaca dan Neutral Karbon akan melaksanakan inventori bagi mengumpul data berkaitan kualiti sungai di Seberang Perai pada tahun depan.

“Dengan adanya data ini kita boleh menentukan kelas sungai serta mendapatkan pandangan untuk menaikkan kelas-kelas tersebut, contohnya sungai kelas empat dinaikkan kepada kelas tiga dan seterusnya.

“Melalui cara ini, kualiti sungai di negeri ini akan bertambah baik pada masa akan datang,” ujarnya lagi.

Difahamkan, sebanyak 17 buah sekolah di Seberang Perai telah mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut pada tahun ini.

Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Abdul Rahman dinobatkan sebagai juara dengan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM800 manakala naib juara dan tempat ketiga masing-masing dimenangi oleh SMK Bandar Tasik Mutiara (RM600) dan SMK Taman Inderawasih (RM400).

Kesemua hadiah bernilai RM3,200 adalah ditaja oleh Zerex Resources Sdn. Bhd..

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD