Pertandingan Ratu Kebaya bantu promosi industri pelancongan Pulau Pinang

Admin

BATU UBAN – Exco Pembangunan Pelancongan, Warisan, Kebudayaan dan Kesenian, Yeoh Soon Hin berharap agar Pertandingan Ratu Kebaya dan ‘Face of Beauty Malaysia’ 2019 dapat membantu Kerajaan Negeri dalam usaha untuk mempromosikan Pulau Pinang sebagai destinasi pelancongan.

“Kami (Kerajaan Negeri) berharap agar pertandingan ini bukan sahaja dapat mencari ‘Ratu Kebaya’ sebagai duta pelancongan malah turut mempromosikan pakaian tradisional masyarakat di negara ini.

“Selain itu, ia juga salah satu usaha untuk mengetengahkan kepelbagaian budaya masyarakat majmuk dan seni warisan yang terdapat di Pulau Pinang sebagai tarikan pelancong asing,” ujarnya pada sidang media dekat Kompleks Bukit Jambul (KBJ), di sini semalam.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, A. Kumaresan; Pengerusi Pengurusan Operasi Badan Pengurusan Bersama (KBJ) JMB KH Chan; Ahli JMB KBJ, Harry Toh dan barisan pemenang Ratu Kebaya 2018.

Mengulas lanjut, Soon Hin menyatakan bahawa selain kebaya, pakaian tradisional seperti batik, songket dan kain pelikat perlu dipromosikan serta diperkenalkan di peringkat antarabangsa.

“Saya berharap agar ramai lagi pegawai kerajaan akan memakai pakaian tradisonal seperti kebaya semasa ke tempat kerja ataupun urusan rasmi,” ujarnya sambil menyeru golongan wanita untuk menyertai program tersebut bagi menonjolkan bakat terpendam masing-masing.

Difahamkan pertandingan peringkat akhir akan berlangsung pada 24 Ogos ini dan pemenang ‘Ratu Kebaya 2019’ merangkap Ratu ‘Malaysia Face of Beauty’ 2019 akan mewakili Malaysia di Filipina.

Teks & Gambar : SITI HUMAIRA MOHAMED YASIN