Pertemuan bersama MAQIS Pulau Pinang permulaan saling kerjasama pada aspek keselamatan makanan

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow lewat petang ini meluangkan masa mendengar pembentangan oleh Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Negeri Pulau Pinang, Zarina Ramli.

 

Zarina yang diiringi oleh Pegawai Perhubungan Awam, Mohammad Izwan Mohammad Fouzee mengadakan kunjungan terhadap Kon Yeow sekaligus membentangkan slaid berhubung jabatan berkenaan serta cabaran semasa yang dihadapi dalam melaksanakan tugas.

 

ZARINA Ramli semasa memberi penerangan berhubung tanggungjawab Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia, Negeri Pulau Pinang oetang ini.

Menurut Zarina, trend semasa membeli-belah dalam talian atau online shopping menjadi salah satu cabaran kepada MAQIS Pulau Pinang.

 

“Pihak MAQIS bukan sahaja menempatkan pegawai di pintu-pintu masuk seperti di lapangan terbang dan pelabuhan di negeri ini, malah juga di pejabat pos bagi mengadakan pemeriksaan bungkusan.

 

“Melalui online shopping sukar untuk mengawal kemasukan produk seperti makanan haiwan yang tidak diperakui, biji-biji kopi, produk yang tidak berlabel atau lain-lain produk makanan yang tidak mendapat sijil Halal atau sijil keselamatan penggunaan.

 

“(Dan) sebagai jabatan yang bertanggungjawab, pastinya MAQIS akan meningkatkan pemeriksaan serta pemantauan dengan melakukan sampel atau tapisan setiap penghantaran bungkusan untuk dihantar ke makmal bagi menjamin keselamatan kepenggunaan.

 

“Ia sejajar dengan hasrat menjadikan MAQIS sebagai agensi penguatkuasaan agromakanan menjelang tahun 2021,” ujarnya.

 

Selain itu, di peringkat nasional, Zarina memaklumkan bahawa jabatan berkenaan turut memantau penularan wabak yang ‘dibawa’ masuk dari luar negara sama ada melalui produk makanan mahupun hasil-hasil pertanian untuk kegunaan harian seperti bawang, ubi kentang, cili dan sayur-sayuran.

 

Usai pembentangan, Zarina turut menzahirkan penghargaan kepada Kon Yeow kerana meluangkan masa menerima kunjungan pihak MAQIS Pulau Pinang.

 

Dalam pada itu, Kon Yeow berharap pertemuan hari ini akan menjadi permulaan untuk saling bekerjasama terutama dalam aspek keselamatan makanan.

 

MAQIS ditubuhkan di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sebagai sebuah jabatan yang memberi perkhidmatan bersepadu berhubung kuarantin, pemeriksaan dan penguatkuasaan di pintu masuk, stesen serta premis kuarantin dan permerakuan bagi import serta eksport tumbuhan, binatang, karkas, ikan, keluaran pertanian, tanih dan mikroorganisma.

 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI 
Gambar : LAW SUUN TING