Promosi bayar kompaun TLK MBSP serendah RM5 sehingga 31 Disember – Datuk Bandar

Admin
SR. Rozali Mohamud dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh Majlis di Menara Bandaraya MBSP di sini pada pagi tadi.

SEBERANG JAYA – Sehingga 31 Disember tahun ini, pesalah yang menerima kompaun tempat letak kereta (TLK) yang dikeluarkan oleh Majlis Bandaraya Sebernag Perai (MBSP) boleh menjelaskan bayaran pada kadar serendah RM5 sahaja bagi tiap-tiap kompaun.

DATUK Bandar MBSP.

Bagaimanapun, Datuk Bandar MBSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud memberitahu promosi pengurangan kompuan itu tidak termasuk kompaun yang telahpun didaftarkan untuk tindakan mahkamah dan kompaun atas kesalahan meletak kenderaan di petak parkir orang kurang upaya (OKU).

“Sejak penubuhan pada tahun 1976 (dulu dikenali sebagai Majlis Perbandaran Seberang Perai, MPSP), kita tidak pernah menawarkan pengurangan kompaun serendah RM5 bagi setiap kompuan, tetapi pada kali ini kita buat promosi ini.

“MBSP telah menjalankan promosi pengurangan kompaun TLK ini sebagai satu cara untuk menggalakkan orang ramai membuat pembayaran kompaun.

“Semakan jumlah kompaun boleh dibuatkan melalui laman rasmi MPSP, bahagian Lists of Online Service (https://mpsppay.mpsp.gov.my/).

“Kita (MBSP) sedaya upaya memudahkan dan memberi peluang kepada para penerima kompaun terbabit, tapi kalau mereka masih ingkar, hanya mahkamah boleh mengajar mereka,” tegasnya.
Rozali berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh Majlis Ke-545 (Bil. 11/2019) di Menara Bandaraya MBSP dekat Bandar Perda di sini pada 26 November 2019.

Menjawab soalan pemberita, Rozali memberitahu rekod MBSP sehingga 24 November 2019 menyaksikan jumlah tunggakan kompaun TLK yang tidak dijelaskan dalam tempoh tahun 2016 hingga 2018 adalah sebanyak 261,560 kompaun.

“Mulai 16 September 2019 (iaitu ketika program promosi pengurangan kompaun dilancarkan oleh MBSP) sehingga 24 November 2019, sebanyak 62,447 kompaun telah dijelaskan,” respons beliau sambil memaklumkan hasil semasa yang diperoleh adalah sebanyak RM388,295.

Selain itu, beliau berkata MBSP berhasrat untuk saling bekerjasama dengan agensi persekutuan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam menjejaki pemilik kenderaan yang mempunyai lebih daripada 10 kompaun TLK serta ingkar dalam menjelaskan bayaran berwajib.

“Kita (MBSP) dah utus surat kepada JPJ, setakat ini telah ada kerjasama dalam menyemak alamat pemilik kenderaan.

“Hanya kerjasama yang lebih tegas iaitu kita (MBSP) minta supaya disenaraihitamkan kenderaan-kenderaan tersebut, belum dapat kelulusan lagi (daripada JPJ).

“Operasi penguatkuasaan bersepadu ini akan hampir sama seperti DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) dengan JPJ tidak lama lagi,” jelasnya.

Dengan status ‘bandar raya’, tambah Rozali lagi, MBSP sedang dalam proses mewartakan warden trafik iaitu mewujudkan penguat kuasa untuk menguat kuasa undang-undang jalan raya.

“Sesebuah ‘bandar raya’ memang boleh menubuhkan skuad warden trafik mereka, boleh mengambil tindakan dengan lebih tegas kepada kereta yang ingkar membayar kompaun umpamanya, dengan kerjasama PDRM (Polis Diraja Malaysia),” katanya sambil memberitahu usaha mengheret mereka yang ingkar dalam membayar kompaun ke mahkamah merupakan tindakan paling akhir akan diambil oleh MBSP.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: NOOR SITI NABILAH NOORAZIS