Peruntukan dana PPP dan TPPM, Kerajaan Negeri akan adakan perbincangan lanjut dengan KPKT – Exco

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri melalui Bahagian Perumahan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri telah mengenal pasti 33 unit lif di beberapa rumah pangsa di seluruh daerah untuk tujuan penggantian membabitkan nilai RM8.9 juta, ujar Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo.

Jagdeep berkata, tindakan itu susulan respons pantas daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang ingin mengadakan perbicangan lanjut berhubung permohonan peruntukan yang dibuat Kerajaan Negeri melalui Projek Penyelenggaraan Perumahan (PPP) dan Tabung Penyelenggaraan Perumahan (TPPM) tahun hadapan.

“Ini adalah berita baik buat Pulau Pinang, apabila kita berjumpa dengan Menteri KPKT (Zuraida Kamaruddin) Sabtu lalu (9 November), saya mohon agar beliau memberikan pertimbangan khusus kepada permohonan Kerajaan Negeri untuk dana penyelenggaraan dan beliau secara verbalnya mengatakan akan memberikan ‘layanan istimewa’ kepada Pulau Pinang.

“Tapi, agak mengejutkan apabila minggu ini pihak atasan di KPKT telah menghubungi Pn. ‘Ainul di Bahagian Perumahan untuk mengadakan pertemuan pada 25 November depan bagi berbincang dengan lebih lanjut.

“Dan, kita (Kerajaan Negeri) telah diminta untuk mengenalpasti projek-projek kritikal iaitu lif terlebih dahulu untuk dibincangkan,” ujarnya pada sidang media di sini pagi tadi.

Hadir sama Ketua Penolong Setiausaha Kanan (Perumahan), ‘Ainul Mardhiyah Samsudi; Fakhurazzi Ibnu Omar (Ketua Penolong Setiausaha, Seksyen Dasar & Pembangunan) dan Mohd. Fauzy Mohd. Yusoff (Penolong Setiausaha Kanan, Seksyen Pengurusan Perumahan).

Mengulas lanjut mengenai perkembangan positif berkenaan, Jagdeep yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat memberitahu bahawa sejumlah RM28.7 juta dana PPP telah dimohon untuk penyelenggaraan perumahan awam dan TPPM sebanyak RM72.1 juta (perumahan swasta kos rendah) tahun hadapan.

Jelasnya, jumlah tersebut bukan hanya melibatkan penggantian lif, tetapi turut merangkumi tangki air dan sistem retikulasi, penggantian bumbung, pengecatan bumbung, pembaikan kerosakan umum dan pemasangan anti vandalism lift systems (AVAS) serta kamera litar tertutup (CCTV).
“Apabila melakukan permohonan ini, bukan bermakna kita (Kerajaan Negeri) akan lepas tangan, tetapi dengan kelulusan dana daripada Kerajaan Persekutuan akan membolehkan lebih banyak projek perumahan mendapat manfaatnya.

“Di pihak Kerajaan Negeri sendiri, kita masih akan meneruskan penyelenggaraan melalui dana daripada tabung-tabung sedia ada.

“Untuk tujuan tersebut, Kerajaan negeri sejak dari tahun 2008 hingga September 2019 telah memperuntukkan sebanyak RM232 juta bagi menyelenggara kesemua skim perumahan awam sejumlah RM178,858,934.57, perumahan pihak berkuasa tempatan (RM22,012,050.39) dan perumahan swasta (RM32,015,600.00) yang layak,” jelas beliau.

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar: ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI