Peruntukan Hal Ehwal Islam Pulau Pinang meningkat 400 peratus sejak 2008

Admin

BAGAN JERMAL – Sebanyak tujuh buah masjid dan 21 surau dalam kawasan Parlimen Bagan menerima sumbangan Ihya Ramadan yang disampaikan oleh Ahli Parlimennya, Lim Guan Eng semalam.

Guan Eng yang juga Menteri Kewangan berkata, sumbangan berjumlah RM4,000 bagi setiap masjid dan RM1,000 (surau) tersebut adalah untuk mengimarahkan lagi masjid dan surau sepanjang bulan Ramadan ini.

Jelasnya, sumbangan itu juga membuktikan bahawa Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sentiasa memberi keutamaan terhadap Hal Ehwal Islam dan pembangunan masjid di negara ini termasuk Pulau Pinang.

Lim Guan Eng dan barisan pimpinan Kerajaan Negeri berbuka puasa bersama-sama qariah Masjid Kubang Buaya selepas menyampaikan sumbangan Ihya Ramadan.

“Dalam belanjawan 2018, kerajaan terdahulu hanya memperuntukkan RM1.1 bilion untuk Hal Ehwal Islam tetapi di bawah Pakatan Harapan kita tambah lagi RM100 juta menjadi RM1.2 bilion dalam Belanjawan 2019 lalu.

“Bukan itu sahaja, Kerajaan PH juga telah memperuntukkan sebanyak RM25 juta kepada sekolah pondok dan RM25 juta (sekolah agama rakyat, SAR) yang mana peruntukan ini tidak pernah diberikan oleh kerajaan terdahulu.

“Oleh itu, saya memberi jaminan bahawa Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan sentiasa memberikan penekanan terhadap Hal Ehwal Islam di negara ini,” katanya semasa berucap pada Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Sumbangan Kepada Masjid dan Surau dekat Masjid Kubang Buaya, di sini semalam.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal merangkap Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee; ADUN Sungai Puyu merangkap Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh; ADUN Bagan Dalam, M. Satees; Yang di-Pertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Dato’ Abdul Malik Abul Kassim; Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud; Pengerusi Masjid Kubang Buaya, Datuk Abdullah Harun serta ramai lagi.

Sementara itu, Abdul Malik yang turut berucap sebelum itu memberitahu bahawa peruntukan untuk Hal Ehwal Islam di Pulau Pinang meningkat sebanyak 400 peratus sejak 2008.

“Sejak 2008, Kerajaan Negeri mula memberi pengiktirafan kepada Huffaz dan kita berhasrat untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri yang mampu mewujudkan satu keluarga, satu hafiz,” jelasnya lagi.

Pada majlis itu juga, seramai 30 asnaf menerima bantuan zakat bagi meringankan beban untuk persiapan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : ENG KOK WEI