Peruntukan khas MPPP tingkat pencahayaan lampu jalan

Oleh: MOHD. HAFIZ TAJUDIN


BUKIT BENDERA – Bagi meningkatkan kelengkapan infrastruktur rakyat negeri ini, Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) memperuntukkan peruntukan khas bagi pemasangan, penyelenggaraan dan menaiktaraf lampu-lampu jalan di sini.

Pada tahun lalu, sejumlah RM6.69 juta dibelanjakan bagi kerja-kerja pemasangan dan penyelenggaraan 33,800 buah lampu awam melibatkan laluan pejalan kaki serta kampung.

Daripada jumlah tersebut, RM3.69 juta adalah melibatkan pemasangan dan penyelenggaraan lampu awam dan bil elektrik (RM3 juta).
Bagi tahun ini, MPPP memperuntukkan RM8.45 juta bagi tujuan sama.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, sepanjang tahun lalu, MPPP telah memasang dan menaiktaraf hampir 500 buah lampu jalan dengan 330 daripadanya dipasang berdasarkan permohonan orang awam melalui Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), ahli-ahli majlis atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

“Bagi menerangkan lagi kawasan bandar, perumahan dan perkampungan, MPPP juga telah mula memasang lampu awam baru pada perselangan jarak setiap tiang lampu antara 40 meter hingga 45 meter berbanding tahun-tahun sebelumnya pada jarak antara 50 meter hingga 65 meter,” katanya ketika merasmikan Pelancaran Pemasangan Lampu Jalan Tambahan di Jalan Stesen Bukit Bendera di
sini baru-baru ini.

Menurutnya, bagi tahun 2013, kerja-kerja menaiktaraf lampu-lampu awam secara berperingkat akan dijalankan di jalan-jalan utama dan kawasan yang dikenalpasti.

“Penaiktarafan tersebut adalah melibatkan penukaran kuasa lampu dari 150 Watt kepada 250 Watt, manakala dari 250 Watt pula kepada 400 Watt,’’ katanya.

Tambah Guan Eng, sebanyak RM2.42 juta diperuntukkan bagi menaiktaraf lampu dan penggantian kabel bawah tanah di 39 batang jalan tahun lalu dan RM1.85 juta di 41 batang jalan pada 2011.

“Manakala pada 2013, RM2.25 juta melibatkan 29 batang jalan diperuntukkan bagi tujuan sama,’’ ujarnya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Ketua Menteri turut mengumumkan tiga langkah utama dirancang Kerajaan Negeri bagi menangani masalah lalulintas dan bakal dilaksanakan secara berperingkat merangkumi aspek pelebaran serta penaiktarafan jalan, pelaksanaan jalan sehala dan penguatkuasaan undang-undang.

“Langkah berikutnya adalah penyediaan laluan ketiga Pulau Pinang – Seberang Perai dan empat projek infrastruktur utama melibatkan kos RM5 bilion.

“Ia adalah meliputi pembinaan jalan berkembar Jalan Tanjong Bungah – Telok Bahang, pembinaan by-pass dari Lebuhraya Dr. Lim Chong Eu – Air Itam, pembinaan jalan berkembar Jalan Paya Terubong, pembinaan by-pass dari Persiaran Gurney ke Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu dan pembinaan Jambatan Ketiga Pulau Pinang,’’ jelas beliau.

KETUA Menteri bersama ahli-ahli majlis dan pegawai MPPP menunjukkan tanda bagus di bawah limpahan lampu jalan yang dirasmikan di Jalan Stesen Bukit Bendera di sini baru-baru ini.
KETUA Menteri bersama ahli-ahli majlis
dan pegawai MPPP menunjukkan tanda
bagus di bawah limpahan lampu jalan yang
dirasmikan di Jalan Stesen Bukit Bendera
di sini baru-baru ini.