Promosi produk agrikultur serta perikanan berkualiti tinggi

Admin

PULAU BETONG – Kerajaan Negeri akan membantu pada aspek penempatan khususnya pengurusan tanah bagi mempromosikan produk agrikultur dan perikanan berkualiti tinggi di negeri ini.

Kenyataan tersebut dinyatakan Ketua Menteri, Y.A.B. Ketua Menteri bersempena lawatan beliau ke tapak perusahaan tiram SeaHarvest Sdn. Bhd., milik pengusaha, Wong Chin Poh di sini tadi.

Hadir sama, Exco Pelancongan, Seni, Budaya dan Warisan (PETACH), Yeoh Soon Hin; Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Norlela Ariffin; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Mohd. Tuah Ismail; Ahli Parlimen Balik Pulau, Muhammad Bakhtiar Wan Chik dan Pengarah Jabatan Perikanan Pulau Pinang, Noraisyah Abu Bakar.

Menurut Kon Yeow, beliau kagum melihat satu-satunya pusat penetasan tiram komersial dalam negara adalah di Pulau Betong, Balik Pulau.

“Kita perlu mempromosikan produk agrikultur dan perikanan berkualiti tinggi dan Kerajaan Negeri akan membantu pada aspek pengurusan tanah ke arah usaha ini,’’ ulasnya sejurus lawatan berkaitan.

Dalam pada itu, Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Norlela Ariffin, berharap perusahaan tiram di Balik Pulau dapat diperluaskan di kawasan paya bakau Penaga, Seberang Perai Utara (SPU).

“Di Penaga ada 471 ekar Paya Bakau, tidak perlu buat kolam dan ia merupakan persekitaran terbaik untuk membiakkan tiram.

“Kalau Chin Poh boleh tunjuk ajar, kita boleh lihat sama ada paya bakau di Penaga sesuai untuk penternakan tiram ataupun sebaliknya.

“Kita boleh bawa benih dari sini ke Penaga, dan kalau berjaya ianya bagus untuk tambah pendapatan para nelayan,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Norlela memberitahu bahawa Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) baru-baru ini turut membentangkan projek perusahaan tiram tersebut dalam satu mesyuarat.

“Maknanya projek ini mempunyai kepentingan dan merupakan satu-satunya pusat jagaan di Pulau Pinang serta dalam negara, malah ia turut memperoleh sokongan daripada pihak NCIA serta Kerajaan Negeri.

“Serentak itu, perkara ini turut dibentangkan dalam mesyuarat Exco baru-baru ini untuk pihak Kerajaan Negeri memberi sokongan sepenuhnya terhadap perusahaan berkenaan,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti.

Muhammad Bakhtiar dalam pada itu turut melihat perusahaan tiram berkaitan mampu dikembangkan sebagai pelancongan pembelajaran atau edutourism.

“Mungkin ini boleh digerakkan melalui kolaborasi bersama-sama Pusat Kajian Pantai dan Samudera (CEMACS) Universiti Sains Malaysia (USM), dan ia boleh menjadi sebahagian daripada edutourism dengan lebih sempurna.

“Secara tidak langsung, ia juga mampu menjadikan Balik Pulau sebagai pusat ekotourism dan edutourism,” katanya.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI

Video : AHMAD ADIL MUHAMAD