Pesta Bunga ikon pelancongan negeri

Admin

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

KEBUN BUNGA – Penganjuran program tahunan, Pesta Bunga Negeri Pulau Pinang 2014 adalah sebuah ikon pembangunan pelancongan buat negeri tanpa mengenepikan aspek alam semulajadi, ujar isteri kepada Tuan Yang di-Pertua Negeri (TYT), Toh Puan Majimor Shariff di sini baru-baru ini.

Beliau menyatakan demikian pada Majlis Perasmian Pesta Bunga Negeri Pulau Pinang 2014 bertempat di Taman Botani baru-baru ini di sini.

Menurut Majimor, Taman Botani merupakan khazanah alam semulajadi yang terkenal dengan keindahan flora fauna dan kehijauan alamnya.

“Tanpa mengenepikan alam semulajadi, Pesta Bunga diadakan saban tahun.

“Ini adalah selaras dengan matlamat Kerajaan Negeri dalam mempromosikan Pulau Pinang ke arah sebuah negeri Bersih, Hijau, Sihat dan Selamat,’’ katanya di sini.

Hadir sama, isteri kepada Ketua Menteri, Betty Chew Gek Cheng, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd. Rashid Hasnon dan isteri, Datin Norazizah Haron, Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kebun Bunga, Cheah Kah Peng.

Kira-kira 600 pokok bunga orkid daripada 55 spesis dipamerkan pada pesta yang berlangsung selama lapan hari bermula 31 Mei lalu.

Tambah Majimor, ke arah menjadikan Pulau Pinang sebuah negeri yang Bersih, Hijau, Sihat dan Selamat, ia bukan sahaja terletak di bahu Kerajaan Negeri semata, sebaliknya tanggungjawab dan komitmen bersama-sama untuk menjayakannya,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Mohd. Rashid berkata, penganjuran tersebut dapat membantu pengusaha landskap dan bunga untuk memasarkan hasil keluaran masing-masing dengan lebih meluas.

“Ianya bukan sekadar pesta dan pameran untuk melihat keindahan kepelbagaian orkid , malah, secara tak langsung, ia menggalakkan perkembangan industri landskap dan bunga-bungaan di Pulau Pinang,’’ jelasnya.

Tambah beliau, aktiviti-aktiviti yang dijalankan adalah bertemakan alam sekitar dan biodiversiti.

“Pengunjung dan pelancong dapat mendekatkan diri dengan alam sekitar, malah, pada masa sama, memperoleh maklumat berhubung biodiversiti alam semulajadi,” kata beliau.