Pesta Hoki USM, platform lahir bintang hoki baharu

Admin
759bef5e ef2d 4876 bcc0 ca5216aec279 SUHAIMI Abu Bakar dalam sesi temu ramah bersama-sama Buletin Mutiara berhubung kejayaan penganjuran Pesta Hoki Antarabangsa USM-Pulau Pinang edisi ke-49 baru-baru ini, di Pejabat Kelab Sukan Staf USM di sini pada 23 November 2026,

SETIAP kali menjelang penghujung tahun, padang hoki di Universiti Sains Malaysia (USM) pasti bertukar wajah menjadi medan pertemuan meriah bagi komuniti hoki dari seluruh negara dan rantau ini.

Pesta Hoki Antarabangsa USM-Pulau Pinang edisi ke-49 yang melabuhkan tirainya pada 15 November lalu sekali lagi membuktikan bahawa kejohanan berprestij ini bukan sekadar medan merebut kejuaraan, sebaliknya menjadi platform pembangunan bakat muda yang membawa manfaat besar kepada sukan hoki, khususnya di Pulau Pinang.

c71499cc 5e2b 4eab 8cc4 b2a19a7052f5Dengan penyertaan sebanyak 185 pasukan dari dalam dan luar negara, termasuk pasukan jemputan dari Sri Lanka, kemeriahan edisi kali ini memperlihatkan kesinambungan kejohanan yang mula dianjurkan sejak 1973.

Antara yang paling mencuri tumpuan adalah kejayaan pasukan tuan rumah, Pasukan USM B, yang muncul juara Kategori Lelaki Terbuka Premier sekali gus menjulang Piala Pusingan DYMM Sultan Azlan Shah.

Kejayaan itu cukup bermakna apabila skuad yang dibarisi mahasiswa USM berjaya menewaskan pasukan pilihan, Rajawali Ultra, dengan jaringan 2-0 pada perlawanan akhir.

Kejayaan tersebut turut menyaksikan tonggak utama Pasukan USM B, Mohamad Adib Akmal Mohd. Rosdy, dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan Akhir (Man of the Match), manakala Muhammad Akram Hakkam Jamaluddin daripada pasukan Retired Boys pula merangkul anugerah Pemain Paling Cemerlang (Most Outstanding Player).

930694cc 3585 4be5 90aa b9499023be48 00b562af ed59 4c61 94db 4d54df5694d2 0f95f61c 53f7 404e 987c 937295f2af88 b310480b 498d 4f15 8dc0 14900d3c30f2 24c1c9a7 6117 4491 938d b2952685a307Bagi Naib Presiden Persatuan Hoki Pulau Pinang (PHPP) merangkap Naib Yang Dipertua Kelab Sukan Staf USM, SUHAIMI ABU BAKAR, 62, kejayaan skuad mahasiswa USM itu mencerminkan keberkesanan sistem pembangunan bakat yang dilaksanakan secara bersepadu di kampus berkenaan.

Menurut beliau, kejohanan ini sejak dahulu lagi dirangka sebagai platform pembelajaran menyeluruh, bermula daripada aspek pengurusan acara oleh mahasiswa sehinggalah kepada pendedahan awal kepada pelajar sekolah.

“Pesta Hoki Antarabangsa Pulau Pinang ini memang merupakan aktiviti pelajar, dengan pihak universiti melatih mereka menganjurkan kejohanan, daripada peringkat kecil sehinggalah ke peringkat antarabangsa.

“Setakat ini, mereka berjaya kerana pelajar sendiri yang mengurus dan mentadbir kejohanan ini,” katanya ketika ditemu bual wartawan Buletin Mutiara, ZAINULFAQAR YAACOB, bersama jurugambar, ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI, di Pejabat Kelab Sukan Staf USM di sini pada 23 November 2026.

b2e87b0e 9404 47ae be20 0278cd7027f1 5e5b8c82 83bf 4a6f a264 33b519620aed 96ffdb9c 4bb3 46cd 8f3c 6b7f9bc892bb 1e3ccc2e 1ffa 44d2 8619 0529f7d1db34Mengulas lanjut, Suhaimi yang telah berkhidmat selama 35 tahun di universiti awam berkenaan sebagai Ketua Penolong Jurutera (B) menjelaskan bahawa penyediaan kategori mengikut peringkat umur seperti bawah 12, bawah 15 dan bawah 18 tahun memberikan impak positif kepada perkembangan serta motivasi generasi muda.

“Apabila pelajar sekolah turun beraksi di padang universiti, mereka bukan sahaja dapat menguji kemahiran menentang pasukan luar, malah berpeluang menyaksikan sendiri corak permainan pantas dan taktikal terkini yang dipamerkan oleh pemain kebangsaan serta pemain berpengalaman dalam kategori terbuka.

“Mereka juga akan terdedah kepada persekitaran university dan secara tidak langsung, keadaan ini dapat mendorong mereka untuk berfikir, ‘Oh, saya pun hendak menyambung pengajian di universiti kerana kemudahannya lengkap’.

“Ini juga merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) USM kepada masyarakat,” ujarnya sambil memberitahu bahawa pihak universiti turut menyediakan laluan khas sukan bagi memudahkan kemasukan pelajar sekolah yang mempunyai bakat cemerlang dalam bidang sukan.

Menariknya, manfaat kejohanan dan pembangunan komuniti hoki di USM tidak terhenti di padang semata-mata, malah turut melangkaui aspek pembangunan sosial serta kerjaya golongan belia setempat.

Suhaimi berkongsi kisah bagaimana sukan hoki berjaya mengubah kehidupan sekumpulan anak muda di Bagan Ajam yang dahulunya sering menghabiskan masa dengan aktiviti yang kurang bermanfaat.

“Saya pernah mengambil beberapa orang remaja dari Bagan Ajam yang dahulunya suka melakukan perkara sia-sia, seperti Izwan Firdaus Ahmad Tajuddin dan Ijat Rahim (Muhamad Razie Abd Rahim), untuk bekerja sebagai staf di pejabat saya selain bermain hoki.

“Akhirnya, mereka berjaya mewakili Malaysia.

“Ketika mereka mula bekerja, saya meletakkan mereka pada jawatan paling rendah supaya adil kepada pekerja lain sebelum menghantar mereka mengikuti kursus.

“Kini, Izwan Firdaus sudah mempunyai syarikat dan perniagaan insurans sendiri,” kongsinya.

Menurut beliau, pendekatan yang menitikberatkan kebajikan dan masa depan kerjaya atlet merupakan antara faktor penting bagi memastikan bakat muda terus fokus terhadap pembangunan diri tanpa perlu terlalu bimbang tentang kelangsungan hidup keluarga.

Malah, katanya, nilai murni dan kepentingan pendidikan turut menjadi penekanan dalam setiap sesi perlawanan persahabatan yang dianjurkan Kelab Sukan Staf USM bersama pelajar sekolah dan pasukan luar pada setiap malam Jumaat.

“Belajar ini adalah asas, jangan terlalu mengharapkan makan gaji semata-mata.

“Jika ada ijazah, hendak berniaga pisang goreng pun tidak mengapa, asalkan mempunyai wang tunai untuk dilaburkan semula.

“Dalam pasukan kami pula, semua orang bergaul tanpa mengira pangkat, daripada pembantu am hinggalah kepada profesor,” jelasnya yang sentiasa menerapkan semangat kesukanan serta menolak sebarang bentuk pergaduhan di atas padang.

Bagi memastikan kesinambungan pembangunan bakat muda hoki di Pulau Pinang, beliau menjelaskan bahawa PHPP bersama Kelab Sukan Staf USM turut menganjurkan klinik hoki akar umbi pada setiap hujung minggu di Stadium Bertam dan Stadium Hoki USM.

“Inisiatif ini menjadi platform penting buat murid-murid daripada sekolah yang tidak mempunyai pasukan hoki sendiri, sama ada disebabkan kekangan peruntukan mahupun ketiadaan guru penasihat sukan berkenaan,” jelasnya.

Sehubungan itu, Suhaimi turut menasihatkan ibu bapa dan pelajar yang berminat untuk tidak teragak-agak menghubungi pihak persatuan bagi mendapatkan maklumat mengenai jadual latihan.

648e804e 7098 46a8 a2c0 90a9519c76cb 8c47717d e0a0 4aa3 95ef c5857182391a ebe15bca 240f 4531 b95e 25a71c14e4e7Menurutnya, pembentukan pemain berkualiti perlu dimulakan seawal usia bawah 12 tahun, selaras dengan peribahasa Melayu, melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Dalam pada itu, tumpuan komuniti hoki kini mula terarah kepada penganjuran edisi ke-50 pada 2027 yang bakal menandakan sambutan Jubli Emas kejohanan berkenaan.

“Dengan momentum penyertaan yang semakin rancak serta sokongan padu daripada pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira kaum, Pesta Hoki Antarabangsa USM Pulau Pinang pastinya akan tampil dengan penganjuran yang lebih gemilang.

“Paling penting, kejohanan ini diharapkan terus menjadi platform melahirkan bintang hoki masa hadapan untuk Pulau Pinang dan negara,” jelasnya.