Pesta Makan Amal sasar kutip RM200,000

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

AIR ITAM – Sejumlah RM200,000 disasarkan untuk pembelian sebuah ambulan bagi kegunaan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (MRC) Cabang Pulau Pinang dalam anjuran Pesta Makan Amal 2013 di sini baru-baru in.

Pengerusi MRC Cabang Pulau, Pulau Pinang, Nancy Cheah berkata, penganjuran pesta makan amal tersebut merupakan acara tahunan MRC Cabang Pulau Pinang.

“Tujuan penganjuran bukan sahaja untuk pembelian ambulan tetapi juga untuk penyelenggaraan pusat khidmat ambulan 12 jam di Permatang Tinggi, Jalan Raja Uda di Butterworth dan di bahagian pulau.

“Jumlah sumbangan yang diperlukan besar memandangkan kita (MRC) memerlukan sekurang- kurangnya empat paramedik terlatih setiap hari dan dibayar dengan bayaran sepenuh masa antara jam 7 pagi sehingga 7 malam,” katanya pada Pesta Makan Amal 2013 di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Konsul Besar Thailand di Pulau Pinang, Sritat Vathesatogkit, Pengerusi MRC Cabang Pulau Pinang, Datuk B.J. Yeang, wakil-wakil dari Ivory Properties Sdn. Bhd., Hospital Loh Guan Lye dan Hotel Eastin.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Wong Hon Wai turut hadir merasmikan Pesta Makan Amal 2013 dekat Jalan Grove di sini baru-baru ini.

Dalam ucapan, beliau memuji kesungguhan MRC dalam memberi perkhidmatan kecemasan terbaik di Pulau Pinang, malah turut
membantu dalam kebanyakan kes kecemasan yang berlaku.

“Usaha yang dijalankan MRC patut dicontohi dan orang ramai seharusnya memberi sokongan kerana ia akan memberi faedah kepada komuniti.

“Kehadiran MRC dalam kecemasan banyak membantu pihak polis dan hospital serta mangsa yang terlibat, tahniah MRC,” ucap Hon Wai yang turut meluangkan masa menyampaikan sijil-sijil penghargaan kepada lebih 20 buah gerai yang mengambil bahagian pada penganjuran berkenaan.

Selain penjualan makanan, persembahan daripada Akademi Gimrama MSN Pulau Pinang dan pertandingan mewarna turut menyerikan program tersebut.