Angkasa tunai RM54,825.24 zakat

oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

BATU UBAN – Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) akan mempercepatkan proses rayuan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mendapatkan lesen operasi sebuah pusat dialisis yang dibina pihaknya di Bayan Baru di sini.

Menurut Timbalan Presiden Angkasa, Mutadho Bahri, pembukaan sebuah pusat dialisis di Bayan Baru sudah tertangguh hampir 10 bulan akibat keengganan KKM memberikan lesen operasi yang diperuntukan.

“Kita amat berharap pusat dialisis ini mendapat kelulusan segera daripada KKM memandangkan segala kelengkapan serta pengubahsuaian bernilai RM700,000 sudah disediakan dan mampu beroperasi bila-bila masa,” katanya pada Majlis Pembayaran Zakat Pendapatan Angkasa kepada Zakat Pulau Pinang (ZPP) di sini baru-baru ini.

Pada majlis tersebut, Mutadho menyampaikan zakat pendapatan berjumlah RM54,825.24 kepada ZPP yang diterima Yang diPertua Negeri (TYT) Tun Abdul Rahman Abbas.

Turut hadir, Yang di-Pertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Mohd. Salleh Man.

Menurut Mutadho, ekoran penangguhan pembukaan pusat dialisis tersebut, pihaknya menerima maklumbalas daripada KKM bahawa pusat itu kurang sesuai beroperasi di Bayan Baru ekoran tidak mengikut pecahan zon dalam erti kata lain sudah terdapat pusat dialisis berhampiran zon berkenaan kini.

“ Kita mungkin terpaksa mempertimbangkan pembukaan di kawasan lain sekiranya rayuan pihak Angkasa gagal demi kebajikan masyarakat umum,’’ jelas beliau.

Dalam pada itu, Mutadho memberitahu, zakat yang dikeluarkan adalah merangkumi 305 koperasi di bawah Angkasa yang menjalankan perniagaan di Pulau Pinang.

“Negeri Pulau Pinang juga adalah negeri keempat Angkasa mengeluarkan zakat pendapatan selepas Perlis, Sarawak dan Melaka.

“Bagi jumlah agihan zakat seluruh Malaysia pula, Angkasa turut mengeluarkan RM884,753.64 bagi keuntungan koperasi-koperasinya sehingga 31 Desember 2012,’’ ujarnya.