Pesta Makanan Mini tarik ratusan pengunjung, promosi Seberang Perai sebagai kawasan pelancongan

Admin

BAGAN DALAM – Pelbagai hidangan bersaiz mini dijual pada harga RM2 telah menarik ratusan pengunjung ke Pesta Makanan Antarabangsa Pulau Pinang 2019 (PIFF 2019) yang berlangsung dekat Butterworth Art Walk, di sini.

Seramai 34 penjaja makanan dari pulau dan Seberang Perai mengambil bahagian dengan menyediakan hidangan tempatan, antaranya dangai, nasi lemak, laksa, rojak, cha kuetiaw dan banyak lagi.

Sate antara salah satu hidangan yang menjadi pilihan ramai pengunjung.

Exco Pembangunan Pelancongan, Warisan, Kebudayaan dan Kesenian, Yeoh Soon Hin berkata, program tersebut merupakan sebahagian daripada usaha Kerajaan Negeri untuk mempromosikan Seberang Perai sebagai kawasan pelancongan utama di Pulau Pinang.

“Terdapat banyak tempat menarik yang berpotensi dijadikan tarikan utama para pelancong di Seberang Perai yang kaya dengan hutan paya bakau, tempat-tempat burung hinggap dan sebagainya.

“Kita mahu menunjukkan bahawa Pulau Pinang juga mempunyai khazanah lebih berharga daripada ikon-ikon yang sudah sedia terkenal sebelum ini.

“Oleh sebab itu, Kerajaan Negeri akan turut memasukkan kawasan-kawasan menarik di Seberang Perai ke dalam Pelan Induk Pelancongan Pulau Pinang,” katanya semasa merasmikan program berkenaan, semalam.

Yeoh Soon Hin bersama-sama Rozali Mohamud dan M. Satees mencuba beberapa hidangan yang dijual di PIFF dekat Butterworth.

Turut hadir, Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) Dato’ Sr. Rozali Mohamud; Ahli-Ahli Majlis bagi MPSP, Pengarah Eksekutif TLM Event, CK Ewe; Pengurus Besar Hotel Iconic Pulau Pinang, Kevin Cheah, ketua-ketua jabatan serta pegawai-pegawai kanan MPSP.

Mengulas lanjut, Soon Hin memberitahu bahawa sektor pelancongan Pulau Pinang kini berjaya mengatasi sektor pembuatan dengan menyumbang sebanyak 49 peratus kepada pendapatan negeri.

Orang ramai tidak melepaskan peluang menikmati pelbagai juadah istimewa walaupun dalam cuaca hujan.

“Walaupun Pulau Pinang sudah terkenal sebagai negeri pelancongan, namun kita perlu terus meningkatkan dan merancang pelbagai program baharu bagi menarik minat pelancong untuk menghabiskan lebih banyak masa di negeri ini,” jelasnya lagi.

 

Sementara itu, Rozali yang turut berucap sebelum itu menjelaskan bahawa Pesta Makanan Mini RM2 yang dianjurkan sempena PIFF 2019 sangat istimewa kerana hanya dianjurkan di Seberang Perai.

“Program ini termasuk dalam salah satu usaha untuk meremajakan semula Butterworth yang memberi penekanan kepada aspek pembangunan demi manfaat seluruh lapisan masyarakat,” ujarnya lagi.

Yeoh Soon Hin meneyerahkan sijil pengiktirafan Guinness World of Record di atas pencapaian MPSP menganjurkan acara pesta makanan kendera saji terbesar di dunia dekat Design Village tahun lepas.

Pada majlis itu juga, Soon Hin turut menyampaikan sijil pengiktirafan oleh Guinness World Records kepada Rozali di atas kejayaan MPSP menganjurkan Food Truck Invasion (FTI) yang merupakan pesta makanan kendera saji terbesar di dunia pada tahun lalu.

Sebanyak 150 buah trak makanan mengambil bahagian dalam acara tersebut sekaligus berjaya memecahkan rekod dipegang negara Jepun sebelum ini.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD