Pesta Padi Antarabangsa Pulau Pinang cetus fenomena baharu di Kampung Terus

Admin

PENANTI – Penganjuran Pesta Padi Antarabangsa dekat Laman Padi Jeti Kampung Terus, di sini dilihat mencipta fenomena baru buat penduduk kawasan berkenaan dan sekitarnya.

Pesta yang pertama seumpamanya dianjurkan di semenanjung negara ini berlangsung selama dua hari mulai 11 hingga 12 Ogos telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pelancongan Malaysia, Bakhtiar Wan Chik.

Pelbagai aktiviti menarik berkonsepkan permainan dan pameran makanan tradisional turut diadakan antaranya, pertandingan menangkap ikan, bola sepak bendang, pertunjukan layang-layang, permainan lompat getah, permainan dam, tarian, silat dan banyak lagi.

Lebih unik, pesta berkenaan juga turut mempamerkan sekurang-kurangnya 10 replika menggunakan padi yang dihasilkan oleh penduduk tempatan, dikenali sebagai Pak Nasir.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti, Dr. Norlela Ariffin berkata, penganjuran pesta berkenaan mampu membantu para petani untuk menambah pendapatan sekaligus menaikkan ekonomi komuniti setempat.

Pertandingan menangkap ikan antara acara yang mendapat sambutan menggalakkan.

“Kita mahu bantu pesawah-pesawah meningkatkan pendapatan dan menaikkan ekonomi kampung sebab itu kita buat jeti di Kampung Terus ini melalui satu petisyen yang dibuat oleh lebih kurang 40 orang penduduk.

“Kerajaan Negeri telah bersetuju mendirikan jeti ini dengan kos keseluruhan berjumlah RM600 ribu dan kita tidak mahu projek ini menjadi projek ‘gajah putih’ sebab itu kita pilih Jeti Tapak laman Kampung Terus sebagai lokasi pesta.

“(Dan) Pada masa sama kita juga mahu kekalkan 366 hektar sawah padi di sekitar kawasan ini,” ujarnya ketika berucap pada majlis perasmian pesta berkenaan semalam.

Turut berucap sebelum itu, Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud yang menyifatkan penganjuran pesta berkenaan bukan sahaja memberi kegembiraan kepada komuniti setempat malah turut menjadi sinergi kepada Seberang Perai untuk menjadi bandar pintar dan bandar rendah karbon.

Hadir sama, Exco Perdagangan Antarabangsa & Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Keusahawanan, Dato’ Abdul Halim Hussain; ADUN Pulau Betong, Mohd. Tuah Ismail; Pengarah Kementerian Pelancongan Pulau Pinang, Jonathan Freedy P. Bagang; Pengarah Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu Pulau Pinang (IADA), Mohd. Nazri Abu Seman dan ramai lagi.

Terdahulu, Norlela dan barisan tetamu kehormat yang hadir menyusur Sungai Kampung Terus untuk melepaskan benih udang galah.

Difahamkan, idea penganjuran Pesta Padi Antarabangsa Pulau Pinang dicetuskan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri, Dato’ Law Choo Kiang yang bertujuan untuk menonjolkan kawasan sawah padi sebagai tanah warisan yang boleh dijadikan sebagai kawasan agro pelancongan

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD