Pesta Padi Antarabangsa Pulau Pinang mampu diangkat sebagai acara pelancongan kebangsaan – Ketua Menteri

PENANTI – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow optimis bahawa Pesta Padi Antarabangsa Pulau Pinang yang dianjurkan buat kali kedua pada tahun ini mampu diangkat sebagai acara pelancongan di peringkat kebangsaan.

Beliau berkata, program berkenaan sememangnya mempunyai keunikan tersendiri yang mana pelancong akan dibawa merasai pengalaman amat menarik khususnya bagi masyarakat bandar.

Pengunjung tidak melepaskan peluang bergambar dekat laman Istana Penanti.

 

 

 

 

 

 

“Pesta Padi Antarabangsa tahun 2019 telah membuktikan bahawa ia boleh mencapai pengiktirafan sebagai acara pelancongan kebangsaan.

“Justeru, Kerajaan Negeri bersama-sama pihak penganjur iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti boleh berbincang untuk melihat acara ini dapat ditingkatkan lagi sehingga boleh dimasukkan di dalam kalendar pelancongan negara,” ujarnya pada sidang media selepas merasmikan acara berkenaan dekat Laman Padi Jeti Kampung Terus di sini pagi tadi.

Chow Kon Yeow bersama-sama tetamu undangan khas melepaskan benih udang galah dan anak ikan dekat Jeti Kampung Terus.

 

 

 

 

 

 

Turut hadir, ADUN Penanti, Dr. Norlela Ariffin; Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) Dato’ Sr. Rozali Mohamud; Setiausaha Perbandaran MPSP, Ir. Rosnani Mahmod; Naib Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat mewakili Ahli Parlimen Permatang Pauh, Amar Ghazali; Pegawai Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) Kamarul Haizal Koderat; Pegawai Pertanian Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu Pulau Pinang (IADA), Nor Mazirah Teh; Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Terus, Baharudin Abdullah serta ramai lagi.

Dalam itu, Kon Yeow dalam ucapannya sebelum itu berkata bahawa Kerajaan Negeri akan terus memberikan sokongan padu terhadap kesungguhan semua pihak yang berterusan mempertahankan tanah warisan melalui penganjuran pelbagai program bagi membantu meningkatkan pendapatan ekonomi penduduk setempat.

“Semoga festival ini mencapai sasarannya yang tersendiri sekaligus mewujudkan sinergi yang terbaik untuk kawasan Seberang Perai terutamanya dan Pulau Pinang keseluruhannya,” jelas beliau.

Dua orang kanak-kanak berjaya menangkap ikan bersaiz paling besar dalam pertandingan menangkap ikan di dalam bendang.

 

 

 

 

 

 

Terdahulu, ketibaan Kon Yeow disambut dengan persembahan pencak silat oleh Pasukan Silat Gayung Harimau sebelum membuat ‘Penalty Kick’ sebagai tanda merasmikan perlawanan bola dalam bendang.

Seusai merasmikan acara berkenaan, Kon Yeow berkesempatan merasai pengalaman mengacau dodol beras secara tradisional dan seterusnya menyaksikan pertandingan menangkap ikan di dalam bendang oleh peserta kanak-kanak.

Mengakhiri kunjungan tersebut, beliau dibawa menaiki bot untuk melepaskan benih udang galah dan anak ikan di Jeti Sungai Kampung Terus.

Chow Kon Yeow mencuba pengalaman mengacau dodol beras secara tradisional.

Pesta Padi Antarabangsa Pulau Pinang berlangsung selama tiga hari mulai 16 hingga 18 Ogos 2019 dengan menyediakan pelbagai acara menarik seperti permainan tradisional, pertandingan masakan, persembahan kebudayaan, jualan makanan dan minuman, pameran replika haiwan yang diperbuat daripada jerami padi serta banyak lagi aktiviti menarik lain.

Program bertemakan ‘PadiKu WarisanKu Rezekiku’ adalah dianjurkan oleh Pejabat ADUN Penanti dengan Kerjasama Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS