Punca kematian ikan dalam sangkar di perairan Teluk Bahang masih dalam proses analisa

Admin

PENANTI – Punca kematian beribu-ribu ekor ikan dalam sangkar di perairan Teluk Bahang masih lagi dalam proses analisa, kata Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow.

Beliau berkata, pihak Universiti Sains Malaysia (USM) kini sedang membantu Kerajaan Negeri membuat persampelan dan menganalisa sampel-sampel yang diperoleh dari kawasan terbabit.

“Laporan awal telah dikemukakan kepada Exco Alam Sekitar, YB Phee Boon Poh, tetapi ia tidak boleh dikatakan penemuan muktamad lagi.

“Sudah ada petunjuk-petunjuk yang dikenal pasti, namun pihak USM perlu lebih banyak sampel dan analisa sebelum mengetahui punca utama kejadian tersebut, dan kita berharap keputusan akan keluar dalam kadar segera,” katanya pada sidang media selepas merasmikan penganjuran Pesta Padi Antarabangsa Pulau Pinang dekat Laman Padi Jeti Kampung Terus di sini pagi tadi.

Turut serta, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti, Dr. Norlela Ariffin; Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) Dato’ Sr. Rozali Mohamud dan Setiausaha Perbandaran MPSP, Ir. Rosnani Mahmod.

Terdahulu, Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri, Phee Boon Poh berkata bahawa punca kematian ikan-ikan tersebut adalah disebabkan oksigen terlarut rendah (DO) yang terdapat dalam air, kerana keputusan ujian menunjukkan kepekatan DO hanya empat miligram (mg) seliter, berbanding dengan kadar air segar normal sebanyak 7.56 mg seliter.

“Punca kepekatan rendah DO boleh berubah-ubah, seperti tumbuhan alga, iaitu pertumbuhan alga yang berlebihan di alam sekitar, pencemaran logam berat serta populasi ikan yang berlebihan,” jelasnya pada sidang media 15 Ogos lalu.

Justeru, Boon Poh memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri telah menubuhkan satu pasukan petugas untuk membangunkan data garis dasar mengenai kualiti air.

Tambahnya, pasukan itu diberi tempoh selama 18 bulan untuk membangunkan data tersebut yang akan berguna untuk siasatan masa hadapan.

“Data itu akan digunakan oleh Jabatan Alam Sekitar (DoE), USM, Jabatan Perikanan Pulau Pinang atau mana-mana agensi yang menyiasat kualiti air,” kata beliau.

Pada Rabu lalu, Jabatan Perikanan Pulau Pinang dalam satu kenyataan menafikan dakwaan bahawa kematian beribu-ribu ikan dalam sangkar di perairan Teluk Bahang adalah disebabkan oleh keracunan dan pencemaran seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS