Pesta Pulau Pinang diteruskan, lokasi baharu diambil kira

d082c0d0 552b 4fdd 9cdf 5076afd8dd11

BATU UBAN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan meneruskan penganjuran Pesta Pulau Pinang tahun ini meskipun tidak lagi dapat menggunakan tapak asal di ‘Tapak Pesta Sungai Nibong’ sebagaimana sebelum ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, lokasi baharu sedang dipertimbangkan dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) bagi memastikan acara ikonik berkenaan terus dapat dianjurkan.

“Kerajaan Negeri memang sudah merancang untuk meneruskan Pesta Pulau Pinang, mulai tahun ini, kita tidak dapat menggunakan (tapak pesta) Sungai Nibong untuk Pesta Pulau Pinang.

“Maka kita menimbang untuk meneruskannya di mana, dan kita mendapat kerjasama daripada PERDA yang menawarkan tempat di Padang Menora,” jelasnya ketika ditemui selepas memyempurnakan Majlis Perasmian Penutupan Pertandingan Pidato Penang2030 Peringkat Kebangsaan 2026 di sini sebentar tadi.

Menurut Kon Yeow, meskipun tapak baharu berkenaan tidak sebesar kawasan di Sungai Nibong, ia dilihat sesuai untuk meneruskan legasi Pesta Pulau Pinang.

“Walaupun bukan sebesar Sungai Nibong, tetapi kita rasakan sesuai untuk menganjurkan Pesta Pulau Pinang di situ bagi meneruskan legasinya walaupun bukan di tapak Sungai Nibong.

“Bagaimanapun, mesyuarat Exco telah memutuskan kita kekalkan nama ‘Pesta Pulau Pinang’ kerana ia memang satu jenama yang begitu dikenali sejak setengah abad lalu,” ujarnya lanjut.

Tambah Kon Yeow, pihak urus setia juga telah memulakan persiapan bagi penganjuran yang dijadual berlangsung selama sebulan, bermula 1 hingga 31 Disember ini.

Sebagai rekod, Pesta Pulau Pinang 2025/2026 merupakan edisi terakhir yang dianjurkan di Tapak Pesta Sungai Nibong sebelum kawasan berkenaan digunakan bagi pembinaan depoh dan stesen laluan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara.

Kerajaan Negeri kemudiannya mempertimbangkan lokasi alternatif bagi membolehkan penganjuran pesta diteruskan sepanjang tempoh pembinaan tersebut.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL

Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT

Video : LAW SUUN TING