Pesta Pulau Pinang sentiasa digarap bagi menawarkan kelainan kepada pengunjung -TKMI

Admin

PANTAI JEREJAK – Pesta Pulau Pinang yang merupakan salah satu produk terbaik bagi sektor pelancongan negeri dilihat mampu memperkukuhkan jaringan muhibbah, permaufakatan dan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, pesta tersebut yang telah memasuki tahun ke-42 penganjuran merupakan acara kemuncak tahunan yang sentiasa digarap agar menawarkan kelainan kepada pengunjung.

Kelainan ini bukan saja dari nilai estetika, malahan juga dari segi pengisian acara dan program serta kepelbagaian perniagaan, makanan dan hiburan, rekreasi dan sebagainya yang dipercayai dapat memenuhi citarasa semua pengunjung dari dalam mahupun luar negeri.

Ini dilaksanakan dengan hasrat agar pesta ini tidak pudar dan sentiasa mempunyai daya penarik.

Diharap dengan tagline Jom Pi Pesta, ia mampu mengeratkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk sekaligus akan terus memangkin perniagaan yang sihat serta berdaya saing,” ujarnya yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pinang Tunggal.

Hadir menyempurnakan majlis perasmian Yang Dipertua Negeri (T.Y.T), Tun Dr Abdul Rahman Abbas dan isteri, Toh Puan Majimor Shariff.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato’ Law Choo Kiang, Dato’ Seri Farizan Darus (Setiausaha Kerajaan Negeri) dan Dato’ Sarul Bahiyah Abu (Pegawai Kewangan Negeri) antara tetamu kehormat lain yang turut menyerikan majlis.

Sebanyak 73 program telah diatur sepanjang berlangsungnya Pesta Pulau Pinang iaitu dari 24 November lalu sehingga 31 Disember 2018.

Pesta Pulau Pinang tahun ini juga menjanjikan pengunjung dengan pengalaman memukau dengan hampir keseluruhan kawasan bermandikan cahaya lampu LED pelbagai warna dan bentuk menarik yang pastinya menjadi tumpuan pengunjung untuk merakamkan lensa kenangan.