Pesta Thai 2013 rapat kerjasama dua negara

Admin

Oleh: AINUL WARDAH  SOHILLI

GEORGE TOWN – Lebih 60 kiosk makanan, pakaian dan perhiasan dari Selatan Thailand (Southern Border Provinces of Thailand – SBPAC ) memeriahkan penganjuran lima  hari Pesta Thai 2013 bermula 6 Jun lalu di sini.

Menurut Timbalan Setiausaha Agung SBPAC, Vittaya Panichpong penganjuran hasil kerjasama Konsulat Thailand di Pulau Pinang dan Penang Tourism tersebut telahpun memasuki tahun keempat sejak 2010.

“Selain merapatkan  hubungan Malaysia dan Thailand, pesta ini juga bertujuan memberi peluang kepada pengusaha-pengusaha makanan di Selatan Thailand mempromosikan produk masing-masing ke peringkat antarabangsa.

“Sekaligus, ia juga dapat meningkatkan pendapatan yang mereka peroleh melalui perniagaan produk-produk yang dihasilkan,” ujarnya pada Majlis Perasmian Pesta Thai 2013 di sini baru-baru ini.

Turut hadir melancarkan penganjuran berkenaan adalah Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng.

Tambahnya, SBPAC turut berhasrat membantu penduduk di Selatan Thailand, terutama di wilayah-wilayah bergolak seperti Narathiwat, Pattani dan Yala selain di wilayah Songkhla dan Satun.

Malah, jelas Vittaya, Kerajaan Thailand di bawah pimpinan Perdana Menteri Thaksin Shinawatra (2001-2 0 0 6 ) juga telah memperkenalkan program ‘One Thumbon One Product Project’ (OTOP), iaitu Projek Satu Daerah Satu Produk di bawah pemerkasaan industri kecil dan sederhana.

Hadir sama, Konsul Jeneral Thailand ke Pulau Pinang, H.E Puan Srirat Vathesatogkit, Timbalan Gabenor Wilayah Songkhla, H.E Kamthorn Sitthichot, Konsul Jeneral Jepun, H.E Ryuji Noda, Exco Pembangunan Pelancongan & Kebudayaan, Law Heng Kiang dan Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga & Komuniti dan Kesenian, Chong Eng.

Bersempena itu, pelbagai jenis variasi makanan Thailand seperti som tam (salad betik muda), khao pad (nasi goreng), yam talae (salad masam), pulut mangga dan telur puyuh goreng menjadi tarikan Pesta Thai 2013.