Petani terima input pertanian & bantuan bencana

SEBERANG JAYA – Kebun sayur-sayuran Kampung Taman Baru seluas 71.1 ekar yang musnah dek hujan ribut di sini baru-baru ini dianggarkan mengalami kerugian kira-kira RM40,000.

Justeru, Exco Pertanian & Industri, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin berkata, Kerajaan Negeri akan memberi sumbangan dalam bentuk insentif tunai dan dua kampit baja yang setiap satu seberat 100 kilogram (kg) kepada semua 39 mangsa bencana tersebut.

“Saya diberitahu, (sambaran) kilat (mengakibatkan) rumah pam itu rosak, kemudiannya penuh air (di kawasan kebun sayur) di sini.

“Kita (Kerajaan Negeri) harap, sumbangan ini dapat mengurangkan beban kerugian yang terpaksa ditanggung oleh 39 petani ini,” ujarnya yang juga ADUN Seberang Jaya sebelum menyempurnakan acara sumbangan berwajib pada Majlis Penyerahan Insentif Input Pertanian dan Bantuan Bencana Banjir di sini baru-baru ini.

Sebelum itu, Pangarah Jabatan Pertanian Pulau Pinang, Ahmad Munir Yusoff memberitahu, direkodkan, seseorang petani boleh mengaut keuntungan kasar sehingga RM7,000 bagi tiap-tiap hektar kebun sayur di sini.

Manakala, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail pula memberitahu bahawa Kerajaan Negeri wajar dipuji kerana dilihat senantiasa memelihara keselamatan makanan (food security) melalui usaha mengembangkan potensi Tapak Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) di negeri ini.

“Kalau ada sebanyak mana duit sekalipun, tetapi tiada bekalan makanan, sebenarnya tidak bermakna juga untuk rakyat.

“Ini menunjukkan betapa pentingnya bekalan makanan untuk hidup kita, dan food security ini penting untuk kita jaga,” jelas  Wan Azizah dalam ucapannya.

Dalam pada itu, penerima, Saidin Saad, 66, mengaku bahawa beliau boleh mendapat untung kasar kira-kira RM14,000, sekiranya kebun sayur kangkung, bayam dan tebu seluas dua ekar yang diusahakannya tidak musnah dek bencana baru-baru ini.

“Kalau sehari mungkin tak rosak, tetapi, apabila sayur-sayuran tenggelam sampai dua hari, maka rugi banyak,” jelas Saidin sambil merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri atas pemberian sumbangan insentif tersebut.

Nada yang sama turut diluahkan Ang Hung Khim, 66.

“Walaupun bantuan tak banyak kita minta daripada ADUN (Dr. Afif), tetapi, dapatlah mengurangkan kerugian, kira-kira RM1,000,” ujar Hung Khim.

ADUN Machang Bubok, Lee Khai Loon dan Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Dato’ Law Choo Kiang turut hadir pada majlis tersebut.

if (document.currentScript) {