Peti 3R ke arah negeri hijau & indah

Admin

 

GEORGE TOWN – Majlis Pelancaran Peti 3R Setiap 100 Langkah disempurnakan oleh Y.A.B Tuan Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang di sini baru-baru ini. Majlis tersebut adalah selaras dengan hasrat menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri hijau yang bertaraf antarabangsa dan hasrat Kerajaan Negeri dalam merealisasikan ‘Cleaner Greener Penang’.

Dalam ucapan Ketua Menteri, beliau menyatakan bahawa pelbagai usaha 3R iaitu Reduce (Mengurangkan), Reuse (Mengguna semula) dan Recycle (Mengitar semula), telah dijalankan oleh Kerajaan Negeri dan hasilnya pelupusan sisa pepejal telah dikurangkan sebanyak 175 tan metrik sehari di Seberang Perai sahaja.

Selain Cleaner Greener Penang, Kerajaan Negeri turut melancarkan Hari Tanpa Beg Plastik Percuma dan Tiada Polisterine demi menggalakkan warga Pulau Pinang menyahut seruan 3R,” ujar beliau.

Tambah beliau lagi, Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) telah dipertanggungjawabkan untuk menguruskan sisa pepejal dan pembersihan di Pulau Pinang. Pelbagai prasarana juga telah diwujudkan bagi memastikan pengurusan sisa pepejal ini dilaksanakan dengan cekap dan berkesan.

Peti 3R ini ditaja oleh Syarikat Tye Wei Marketing Sdn. Bhd. dan ia menggunakan ‘Green Power’ bagi memudahkan ia dilihat pada waktu malam. Selain menjimatkan penggunaan tenaga elektrik, peti ini juga tidak memerlukan kos penyelenggaraan yang tinggi. Syarikat tersebut akan berkerjasama dengan beberapa syarikat swasta lain termasuk Syarikat ICI Dulux dalam merealisasikan Pulau Pinang yang lebih indah dan hijau.

Menurut wakil Syarikat Tye Wei, sebanyak RM3 juta telah diperuntukkan untuk pemasangan 500 unit peti 3R ini di sekitar Georgetown, termasuk Persiaran Gurney, Jalan Burma, Persiaran Queensbay dan Jalan Penang. Manakala bagi kawasan Seberang Perai pula, satu pelan tindakan dan pelan perancangan khas akan diwujudkan bagi memastikan pemasangan peti tersebut strategik dan mesra pengguna.

Hadir sama pada majlis tersebut, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebajikan Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh, YDP MPPP, Ar. Patahiyah Ismail, Pengarah Urusan Syarikat Tye Wei Marketing Sdn. Bhd., Johnson Yoon, Pengarah Urusan ICI Dulux, Goh Cheok Weng, Pengurus ESH Resource Management Sdn. Bhd, Mr. Teoh dan beberapa Ahli-ahli Majlis MPPP.