PFF, program biasiswa elak aliran bakat tempatan

GEORGE TOWN – Bertujuan mengelak pengaliran keluar bakat tempatan, Kerajaan Negeri mengambil inisiatif khas menubuhkan Yayasan Masa Depan Pulau Pinang (Penang Future Foundation, PFF) yang merupakan program biasiswa ditawarkan kepada pelajar-pelajar cemerlang dan layak di Malaysia untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng ketika mengumumkan pelaksanaan program berkaitan berkata, PFF yang dimungkinkan hasil sumbangan derma sektor swasta dan individu termasuk Penang Turf Club itu, diharap dapat memberi manfaat kepada pelajar cemerlang dan seterusnya menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah hab bakat.

“Sebagai negeri kedua terkecil di Malaysia, Kerajaan Negeri Pulau Pinang meliputi sepenuhnya kepentingan inspirasi dengan membenarkan anak-anak muda negara, tanpa mengira bangsa, agama dan jantina yang berusia 25 tahun ke bawah untuk melengkapkan diri masing-masing dengan pendidikan lebih tinggi.

“Selain itu, ia juga bertujuan menyediakan barisan belia negara dengan keutamaan diberikan kepada rakyat (belia) Pulau Pinang dari keluarga berpendapatan tunggal, rendah kepada sederhana di sini peluang sebagai asas untuk masa depan yang lebih baik.

“Ini adalah sebahagian daripada usaha Kerajaan Negeri bagi memupuk dan menjadikan Pulau Pinang sebuah negeri hab bakat, justeru, syarat dan harapan PFF kelak adalah pemegang-pemegang biasiswa ini akan kembali berkhidmat di sini (Pulau  Pinang) dengan mencurah idea serta kepakaran masing-masing,” ujarnya pada sidang media Pelancaran PFF baru-baru ini di sini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon dan Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy.

Turut serta, Ahli-ahli Jawatankuasa Pemilihan PFF, Datuk Seri Nazir Ariff, Datuk Daisy Ooi, Koon Yew Yin, P. Ramakrishnan  dan Loo Lee Lian.

Sehingga kini, PFF memiliki dana bernilai RM20 juta menerusi sumbangan Penang Turf Club. 

Malah, adalah diharapkan supaya lebih banyak pihak korporat akan tampil dan menyumbang kepada PFF yang mana semua sumbangan kewangan akan dikecualikan daripada cukai.

Mengulas lanjut, Guan Eng memberitahu, Kerajaan Negeri  bersungguh-sungguh meneroka inisiatif serta mewujudkan peluang bagi membendung arus pengaliran keluar pakar yang kini melanda negara.

“Pulau Pinang tidak mempunyai sumber-sumber semula jadi, kemakmuran ekonomi dan kejayaan material kita (Pulau Pinang) adalah bergantung pada keupayaan membina, mengekal, menarik dan menggunakan bakat manusia.

“Justeru, bagi memenangi masa depan, masyarakat perlu melabur dalam bidang pendidikan. Hari ini, kita (Kerajaan Negeri) membentuk masa depan kita dengan melabur dalam kecemerlangan dan peluang,” jelas beliau.

PFF terbuka kepada semua belia Malaysia berusia di bawah 25 tahun dengan pendapatan isi rumah tidak melebihi RM15,000 sebulan.

Pemohon perlu memenuhi purata nilai gred kumulatif (PNGK) sekurang-kurangnya 3.0 di dalam bidang yang diiktiraf iaitu Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Matematik (STEM) dan Perakaunan.

Maklumat lanjut, sila layari laman sesawang www. penangfuturefoundation.my. Aplikasi atas talian dibuka dari 9 hingga 30 April 2015.

if (document.currentScript) {