MBPP bersama rakyat rai status bandaraya

BUKIT GELUGOR – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menyumbang sejumlah RM16,000 kepada dua madrasah dan dua rumah kebajikan terpilih sempena meraikan pengisytiharan status bandaraya di sini baru-baru ini.

Datuk Bandar MBPP, Dato’ Patahiyah Ismail berkata, setiap madrasah dan rumah kebajikan menerima cek bernilai RM4,000 di samping sumbangan hamper.

Menurutnya, MBPP bukan sahaja responsif terhadap penyediaan pembangunan prasarana dan kebersihan persekitaran, tetapi juga terhadap kebajikan masyarakat setempat.

“Keprihatinan yang ditonjolkan ini secara tidak langsung akan mengukuhkan ikatan silaturahim semua warga Pulau Pinang tanpa mengira latar belakang agama, kaum, status dan budaya,” katanya pada Majlis Lawatan dan Sumbangan Datuk Bandar sempena Pengisytiharan Bandaraya di Madrasah Tahfizul Quranul Karim Baitul Irfan (Baitul Irfan), Kampung Kastam di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Setiausaha MBPP, Ir. Ang Aing Thye; Pengarah Korporat MBPP, Mohamed Akbar Mustapha; Pengerusi Baitul Irfan, Abdul Razi Abdullah dan pegawai-pegawai kanan dari MBPP.

Madrasah Miftahul Irfan, Sungai Rusa, Balik Pulau; Pusat Kebajikan Kanak-kanak Terencat Akal (Pusat Harian Harapan Bakti), Jalan Sungai Nipah, Balik Pulau dan Rumah Amal Cheshire Pulau Pinang, George Town juga menerima sumbangan cek dan hamper dari MBPP.

Terdahulu, lebih 5,000 orang membanjiri Padang Kota Lama pada Sambutan Gilang Gemilang Tanjung Penaga yang turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri (TYT) Tun Dr. Abdul Rahman Abbas dan isteri, Toh Puan Majimor Shariff serta barisan kepimpinan tertinggi negeri antaranya Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng bersama Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Farizan Darus.

Hadir sama, Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Dato’ Maimunah Mohd. Sharif dan barisan Ahli Majlis MBPP.

Pelbagai acara menarik dipersembahkan antaranya nyanyian daripada pelantun ‘Sekuntum Mawar Merah Sebuah Puisi’, Datuk David Arumugam (kumpulan Alleycats) bersama Dasha Logan, boria dari Kumpulan Boria Omara, jenaka dari Mamu Raja Lawak, persembahan fesyen ‘Baba Nyonya’ dan muzik kebudayaan etnik di Pulau Pinang.

if (document.currentScript) {