PGC harap Jaringan Sisa Sifar berjaya – Wei Aik

Admin

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI


GEORGE TOWN – Penang Green Council (PGC) berharap pelancaran pengkalan data Jaringan Sisa Sifar (www. pgc.com.my/zerowastenetwork) baru-baru ini mampu mengurangkan lagi pembuangan sisa harian di Pulau Pinang.

Ahli Parlimen Tanjong, Ng Wei Aik berkata, sistem pengkalan data itu menjelaskan mengenai lokasi kitar semula di lima daerah seluruh negeri berkenaan supaya jumlah sisa buangan harian yang dikumpulkan di Pusat Pelupusan Sampah Pulau Burung dekat daerah Seberang Perai Selatan (SPS) boleh dikurangkan.

“Sebanyak 102 pusat kitar semula terkandung dalam pencarian di laman tersebut. Ia juga merangkumi tempat yang sesuai bagi jenis sisa buangan (seperti) logam, kertas, plastik dan elektronik yang boleh dikitar semula yang di hasilkan oleh kita setiap hari,” ujar beliau dalam satu majlis ringkas di Auditorium A, Komtar di sini baru-baru ini.

Menurut beliau, pengkalan data itu turut memudahkan pelanggan mencari data berwajib seperti syarikat kitar semula, kategori sisa yang dikitar semula, proses kitar semula efektif dan sebagainya.

Justeru, beliau yakin e-sistem tersebut mampu menyemarakkan lagi kesedaran hijau di negeri berkenaan, selain, mewujudkan peluang pekerjaan alternatif dan peniagaan berkaitan industri kitar semula dalam kalangan rakyat.

Inisiatif kehijauan mula diperkenal oleh Kerajaan Negeri sejak lima tahun lepas dan terus diiktiraf di rantau ini hingga sekarang.