Transformasi Flat PPR Jalan Sungai demi rakyat

Admin

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

SUNGAI PINANGSejumlah RM867,440 diperuntukan oleh Kerajaan Negeri melalui Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) untuk kerja-kerja menaiktaraf kawasan Flat PPR Jalan Sungai di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, Lim Siew Khim dalam ucapannya berkata, RM700,000 diperuntukan untuk kerja-kerja mengecat semula dua bangunan 22 tingkat dan selebihnya digunakan untuk menaiktaraf taman permainan kanak-kanak di sini.

“Suara penduduk untuk melihat transformasi bangunan Flat PPR Jalan Sungai ini didengari oleh kita (Kerajaan Negeri ) dan kita akan laksanakan dengan penuh tekun dan dedikasi demi rakyat.

“ Peruntukan tersebut mencakupi peruntukan untuk mengecat semula bangunan flat dan juga menaiktaraf taman permainan sedia ada kepada taman rekreasi yang lebih sesuai untuk semua peringkat usia,” ucapnya di sini barubaru ini.

Tambahnya, kerja-kerja mengecat Flat PPR Jalan Sungai akan dijalankan pertengahan bulan Ogos ini dan dijangka siap menjelang sambutan Tahun Baru 2014 kelak.

“Flat PPR Jalan Sungai mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi iaitu kira-kira 2,000 penghuni dan diharap dengan transformasi fizikal bangunan ini mereka dapat hidup dengan lebih ceria dan harmoni.

“Malah aspek kebersihan juga turut ditekankan bagi kelangsungan yang lebih harmoni dan sejahtera,” tambahnya.

Dalam pada itu, Siew Khim turut merasmikan Hari Pengenalan Ahli Jawatankuasa Pertubuhan Komuniti PPR Jalan Sungai di sini.

Katanya, jawatankuasa ini harus memainkan peranan dua hala bagi membolehkan penduduk khasnya dapat menyuarakan sebarang permasalahan untuk perhatian pihak berkuasa tempatan mahupun Kerajaan Negeri.

Hadir sama, Pengarah Korporat MPPP, Patrick Khoo, mantan Ahli Majlis MPPP, Ramlah Bee, Pengarah Projek GRB Aloyah Bakar dan Pengerusi Pertubuhan Komuniti PPR Jalan Sungai, Shaharudin Mohd. Sharif.