DALAM usaha mempercepat peralihan Pulau Pinang ke arah ekonomi rendah karbon, Penang Green Council (PGC) tampil memperkukuh peranannya sebagai pemacu utama agenda hijau dan kelestarian rentas sektor. Tahun 2026 menyaksikan badan itu merangka beberapa sasaran strategik yang bukan sahaja menumpukan kelestarian alam sekitar malahan bergerak seiring dengan pembangunan ekonomi negeri menuju Visi Penang2030.
Ketua Pegawai Eksekutif PGC, JOSEPHINE TAN MEI LING ketika ditemu bual oleh wartawan Buletin Mutiara, AINUL WARDAH SOHILLI bersama jurugambar, LAW SUUN TING baru-baru ini, berkongsi aspirasi dan strategi menyeluruh merangkumi empat inisiatif utama berimpak tinggi untuk tahun ini.
Sasar 20 hotel disijilkan hijau
Menurut Mei Ling, Penang Green Hotel merupakan salah satu inisiatif yang bakal diperkenalkan pada tahun 2026.
“Di bawah inisiatif ini, PGC akan perkenalkan Penang Green Hotel Metric iaitu satu standard yang membolehkan hotel menerima sijil hijau.
“Bagi tahun ini, PGC menyasarkan sekurang-kurangnya 20 hotel untuk mendapat pensijilan Penang Green Hotel, dengan tumpuan awal kepada hotel tiga bintang dan ke atas,” jelasnya.
Tambah beliau, selepas melalui beberapa siri libat urus bersama pengusaha hotel dan persatuan berkaitan, pengusaha hotel bajet turut menunjukkan minat yang memberangsangkan.
“Terdapat banyak kategori hotel dan bagi hotel bajet, PGC akan dilibatkan mereka melalui kategori penilaian berbeza bagi menggalakkan lebih banyak pengusaha hotel mengamalkan operasi lestari di negeri ini,” ujarnya.

Perkukuh kesiapsiagaan ESG syarikat tempatan
Mengulas mengenai inisiatif Penang Green Industry Program, Mei Ling memaklumkan bahawa program itu bakal dilancarkan semula dengan perancangan lebih tersusun, termasuk penerbitan video korporat yang menampilkan penglibatan Ketua Menteri selaku Pengerusi PGC.
“Program ini bukan sekadar promosi, tetapi menjadi platform untuk membantu syarikat tempatan, khususnya Industri Kecil dan Sederhana (SMI) dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME), bersedia menghadapi keperluan standard ESG (Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus) yang kini menjadi penanda aras pelaburan global.
“Langkah ini penting agar syarikat-syarikat tempatan tidak terpinggir daripada rantaian bekalan syarikat multinasional yang kini menetapkan kriteria kelestarian sebagai salah satu elemen pengoperasian,” katanya.
Beliau turut berkongsi mengenai usaha ‘meneroka’ Dana Mitigasi Iklim (CM Fund) melalui kerjasama dengan institusi kewangan swasta membabitkan dana permulaan sebanyak RM20 juta, tertakluk kepada kelulusan Kerajaan Negeri.
“Jika dilaksanakan, Pulau Pinang akan menjadi negeri pertama melancarkan dana seumpama ini khusus untuk membantu syarikat tempatan beralih ke arah operasi rendah karbon dan lestari,” katanya.
Matlamat jangka panjang program ini, jelas beliau, adalah untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai Hab Pembuatan Hijau.
Jadi pada suku pertama tahun ini, PGC mensasarkan untuk mengadakan latihan dan kesediaan industri bagi membina kapasiti dalaman melalui penilaian Indeks Kesediaan Industri Kemampanan Pengguna (COSIRI).
“Melalui strategi ini, PGC meletakkan sasaran sebanyak lima (5) syarikat bakal diperakukan di bawah COSIRI dan pada masa sama menjalankan penyelidikan polisi hijau melalui perkongsian, pelaksanaan projek dan pembangunan platform,” jelasnya.

Terdahulu, pada Oktober 2025, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow semasa merasmikan Sidang Kemuncak Hijau Pulau Pinang 2025 memaklumkan bahawa dana tersebut menawarkan kadar pinjaman istimewa termasuk program pembangunan kapasiti ESG dengan tumpuan kepada sektor seperti elektrik dan elektronik, peralatan perubatan, aeroangkasa dan lain-lain.
Penang Green School beralih kepada sistem penarafan bintang
Bercakap mengenai Program Sekolah Hijau Pulau Pinang atau Penang Green School, Mei Ling berkata bahawa program yang telah dilaksanakan lebih 14 tahun itu akan distruktur semula dengan pendekatan lebih konkrit dan menyeluruh.
“Kita akan beralih daripada sistem anugerah kepada sistem penarafan bintang iaitu gangsa, perak dan emas, bagi menilai tahap pelaksanaan inisiatif hijau di sekolah secara lebih efektif dan berobjektif,” katanya.
Beliau menjelaskan, program itu kini memberi tumpuan kepada pemerkasaan pelajar dan latihan pendidik melalui Manual Latihan Jurulatih yang dibangunkan bersama SEAMEO RECSAM (Southeast Asian Ministers of Education Organisation Regional Centre for Education in Science and Mathematics), serta penglibatan industri untuk membantu sekolah yang kekurangan sumber.
“Sebanyak 397 sekolah di Pulau Pinang akan terlibat dan sekolah yang mencapai tahap cemerlang digalakkan untuk melangkah ke peringkat Sekolah Lestari – Anugerah Lestari,” katanya.

Rangka kerja tiada plastik sekali guna, tenaga diperkukuh
Selain itu, Mei Ling juga berkongsi bahawa PGC turut memberi fokus kepada pengukuhan dasar dan penyelidikan hijau, termasuk pembangunan Rangka Kerja Tiada Plastik Sekali Guna Pulau Pinang (NSUP) sebagai ‘payung’ utama kepada dasar sedia ada.
“Rangka kerja ini akan menyediakan garis masa peralihan yang munasabah kepada peniaga, pengilang dan pengguna, selain mencadangkan alternatif mesra alam berasaskan piawaian seperti SIRIM Eco Label.
“Diharap rangka kerja ini dapat disediakan menjelang tahun 2027 nanti bagi membolehkan PGC menggerakkan kempen pendidikan NSUP,” jelasnya.
Dalam aspek tenaga pula, beliau berkata PGC akan membangunkan platform pelaporan Build Energy Intensity (BEI) bagi bangunan bukan kediaman serta melaksanakan projek perintis tenaga boleh diperbaharu seperti solar, biojisim dan solar terapung.
Ini termasuk melaksanakan Rangka Kerja Tenaga Pulau Pinang (RKTPP) yang merupakan salah satu inisiatif pada peringkat negeri bertujuan untuk mempercepat penggunaan Tenaga Boleh Baharu (TBB) dan Kecekapan Tenaga (KT) di seluruh Pulau Pinang.
“Rangka kerja ini menggariskan sasaran dan pelan tindakan yang jelas bagi meningkatkan pelaksanaannya menjelang tahun 2030, serta berfungsi sebagai pelan hala tuju strategik untuk menyokong peralihan negeri ke arah masa depan yang rendah karbon dan berdaya tahan tenaga,” katanya.

Cabaran seimbang ekonomi, alam sekitar
Bercakap mengenai cabaran peralihan model ekonomi yang lebih lestari, Mei Ling menegaskan bahawa kebimbangan utama adalah kos terutamanya dalam kalangan peniaga kecil, peniaga dan pasar awam.
“PGC faham bahawa peralihan kepada alternatif yang lebih mesra alam dan baharu melibatkan kos dengan anggaran peningkatan kos operasi perniagaan antara 20 hingga 40 peratus.
Walau bagaimanapun, PGC akan bertindak sebagai pemudah cara bagi membolehkan peralihan ke arah ekonomi mampan lebih lancar.
“Selain itu, maklum balas atau pandangan berbeza daripada pemegang taruh yang bakal diterima oleh PGC, ia adalah perkara biasa, namun perlu dijelaskan bahawa matlamat utama kami adalah untuk mengimbangi pembangunan ekonomi dengan kelestarian alam sekitar,” jelasnya.
Beliau berharap, rangka kerja yang dibangunkan nanti dapat memberi hala tuju jelas kepada para peniaga, pengilang, pemain industri mahupun pengguna.

Beliau yakin dengan pendekatan secara berfasa, inklusif dan berasaskan data, Pulau Pinang mampu muncul sebagai negeri contoh dalam pelaksanaan agenda hijau pada peringkat nasional mahupun antarabangsa.