PH Pulau Pinang mula rundingan agihan kerusi Rabu ini – Kon Yeow

Admin

GEORGE TOWN – Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang akan memulakan rundingan untuk pengagihan kerusi-kerusi yang bakal dipertandingkan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada Rabu ini.

Pengerusi PH Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata bahawa penentuan jumlah kerusi yang dipertandingkan oleh parti-parti komponen (PH) hanya boleh ditentukan selepas rundingan selesai.

“Saya percaya, rundingan pada peringkat Pusat sudah berlangsung dan wakil DAP diberi mandat untuk mengadakan rundingan bagi kerusi-kerusi Parlimen.

“Bagi kerusi-kerusi negeri, pihak PH negeri akan mula rundingan pada Rabu ini,” katanya yang juga Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Pulau Pinang pada sidang media dekat Komtar di sini sebentar tadi.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal merangkap Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee; ADUN Komtar, Teh Lai Heng; ADUN Sungai Pinang, Lim Siew Khim; ADUN Air Itam, Joseph Ng Soon Siang dan ADUN Batu Uban, A. Kumaresan.

Ditanya mengenai pemilihan calon, Kon Yeow berkata bahawa ia tertakluk kepada beberapa perkara termasuk rundingan di antara parti-parti komponen bagi menentukan jumlah kerusi yang boleh dipertandingankan.

“Selain itu, kita (DAP Pulau Pinang) juga sudah mengadakan sesi temu bual calon-calon yang baharu tetapi bagi penyandang sedia ada, sesi ini belum dimulakan lagi.

“Setelah sesi ini selesai, barulah kita akan mendapat satu gambaran lebih jelas tentang muka baharu yang boleh diturunkan pada PRU akan datang.

“Saya juga dimaklumkan bahawa terdapat penyandang sedia ada yang telah menyatakan hasrat untuk tidak mempertahankan kerusi tetapi jumlahnya masih belum dapat didedahkan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Kon Yeow menolak dakwaan sesetengah pihak yang mengandaikan bahawa pendirian PH yang menolak pelaksanaan PRU-15 dengan segera adalah disebabkan gabungan itu masih belum bersedia.

“Tidak ada mana-mana parti boleh mencapai 100 peratus kesiapsiagaan… ada isu-isu yang cuma boleh dimuktamadkan setelah Parlimen dibubarkan seperti rundingan kerusi serta calon baru yang hanya akan dibuat keputusannya menjelang hari penamaan calon.

“Tetapi bagi kerja-kerja logistik yang lain, persiapan untuk mengadakan ceramah dan lawatan, memasang bendera, mengedar risalah serta membuat manifesto boleh dibuat pada bila-bila masa.

“Jadi, tidak timbul isu parti-parti PH belum siap sedia, dan saya percaya bila-bila sekiranya Parlimen dibubarkan, maka jentera digerakkan untuk menyahut PRU yang akan berlangsung,” tegasnya yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong.