PH terus pertahan politik nilai, perkasa strategi pasca PRN

Admin
img 20260802 wa0034

PERAI – Pakatan Harapan (PH) akan terus menumpukan usaha memperkukuh prestasi pentadbiran dan menyampaikan pencapaian kepada rakyat, di samping merangka strategi politik baharu susulan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.

Pengerusi PH Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, PH masih belum mengadakan perbincangan rasmi berhubung keputusan kedua-dua PRN tersebut, namun satu mesyuarat telah dijadualkan pada 8 Ogos ini sebagai kesinambungan persiapan awal menghadapi kemungkinan Pilihan Raya Umum (PRU) dan PRN yang diadakan lebih awal daripada jangkaan.

Menurut beliau, mesyuarat itu akan meneliti secara menyeluruh faktor-faktor yang mempengaruhi keputusan pilihan raya sebelum merangka pendekatan dan strategi gerak kerja yang lebih berkesan.

“Kita akan melihat sebab-sebab di sebalik keputusan PRN Johor dan Negeri Sembilan serta menyusun strategi baharu.

“Gerak kerja parti akan dipertingkatkan, termasuk memperhebat penyampaian maklumat terutamanya menerusi media sosial supaya mesej-mesej penting dapat disampaikan dengan lebih berkesan kepada rakyat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Konvensyen Parti Amanah Negara (AMANAH) 2026 dekat sini sebentar tadi.

Hadir sama, Naib Presiden AMANAH yang juga Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Adly Zahari; Setiausaha Agung merangkap Pengerusi AMANAH Pulau Pinang, Muhammad Faiz Fadzil; Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang, Goh Choon Aik serta barisan kepimpinan Parti AMANAH dan PH Pulau Pinang.

Mengulas lanjut, Kon Yeow yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang menegaskan bahawa PH akan terus berpegang kepada politik nilai meskipun mengakui landskap politik semasa lebih dipengaruhi oleh naratif dan persepsi.

“Politik nilai merupakan asas perjuangan kita. Walaupun ketika ini politik naratif dan persepsi dilihat lebih mendominasi, kita tetap akan mencari pendekatan terbaik untuk mengetengahkan politik nilai yang kita perjuangkan,” ujarnya.

Beliau menyatakan bahawa keputusan PRN Negeri Sembilan turut menimbulkan persoalan mengenai hala tuju politik negara, sekali gus memerlukan semua pihak menilai semula pendekatan dalam mengembalikan keyakinan rakyat.

Bagi Pulau Pinang, menurut beliau, tumpuan akan terus diberikan kepada prestasi penyampaian Kerajaan Negeri dengan memastikan rakyat menilai pentadbiran berdasarkan pencapaian sebenar, kesejahteraan yang dinikmati serta usaha berterusan mewujudkan peluang pekerjaan dan merancakkan pembangunan ekonomi.

“Usaha membangunkan Pulau Pinang akan diteruskan, di samping kita menyusun strategi bagi memastikan mandat rakyat di negeri ini terus dipertahankan,” katanya.

Sementara itu, ketika diminta mengulas sama ada politik perkauman mampu menjejaskan keyakinan pelabur, Kon Yeow mengakui perkembangan sedemikian boleh menimbulkan kebimbangan terhadap hala tuju negara.

Tambah beliau, pelabur lazimnya menilai bukan sahaja kekuatan ekonomi, malah kestabilan politik, keharmonian masyarakat dan persekitaran yang kondusif sebelum membuat keputusan untuk melabur.

“Persoalannya ialah sama ada kestabilan politik negara akan terus terpelihara, sama ada Malaysia kekal sebagai destinasi pelaburan yang kondusif, dan sama ada isu perkauman akan menjadi lebih serius sehingga menjejaskan imej negara.

“Semua ini berkait rapat dengan hala tuju negara selepas berlakunya penjajaran semula kuasa politik (realignment of political forces), dan apakah kesannya terhadap keyakinan pelabur serta masa depan negara,” ulasnya.

img 20260802 wa0042img 20260802 wa0044img 20260802 wa0037img 20260802 wa0041img 20260802 wa0044img 20260802 wa0038