PHC ajak penggemar aktiviti mendaki sertai plogging bersihkan sembilan laluan dakian ke Bukit Bendera

AR. Yew Tung Seang (dua dari kiri) memperkatakan sesuatu kepada Phee Boon Poh (dua dari kanan) berkenaan program Trash - Free Hill yang akan diadakan pada 29 September ini.

GEORGE TOWN – Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PHC) mempelawa para penggemar aktiviti mendaki untuk menyertai program Trash-Free Hill ataupun Plogging yang akan diadakan pada 29 September 2018.

Pengurus Besar PHC, Cheok Lay Leng berkata program tersebut merupakan aktiviti mendaki sambil mengutip sampah yang akan diadakan di sembilan laluan utama dakian ke Bukit Bendera seawal jam 6 pagi.

Pendaftaran adalah berkonsepkan walk-in dan lokasi pendaftaran (permulaan) adalah di Moongate melalu Stesen 5 (berhampiran Taman Botani); Moongate melalui Bukit Cendana; Taman Botani melalui Reservoir; Taman Botani melalui Stesen 46; Stesen Bawah melalui Laluan Warisan; Estet Hye Keat; Empangan Air Itam; Jalan Air Itam dan Taman Rimba Teluk Bahang.

Para peserta diingatkan untuk membawa air minuman sendiri manakala keperluan lain seperti seperti baju-t sukarelawan, beg sampah, ponco, makanan ringan, kupon ais kacang dan tiket furnikular percuma untuk turun akan disediakan,” ujar beliau dalam satu sidang media di Komtar hari ini.

Turut serta Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh dan Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) Dato’ Ar. Yew Tung Seang.

Boon Poh turut menyatakan sokongan terhadap penganjuran program berkaitan selaras dengan tema Pulau Pinang Bersih, Hijau, Sihat dan Selamat.

Plogging ini sebenarnya sudah dimulakan di Pulau Pinang sejak tahun 2010 lagi di Raja Uda, Seberang Perai. Inisiatif ini sangat baik melalui penglibatan komuniti setempat dalam menjaga kebersihan,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu.

Difahamkan pelbagai kelab pendaki sudah bersetuju untuk menyertai program tersebut yang dianggarkan bakal menerima penyertaan seramai 500 orang.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar: ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI