Pemilik kilang pemprosesan plastik terpakai diseru daftar dan mohon semula lesen sebelum 30 September ini – Exco

PHEE Boon Poh

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri menyeru semua kilang-kilang pemprosesan plastik terpakai untuk mendaftar dan membuat permohonan semula kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) sebelum 30 September ini.

Seruan tersebut dibuat Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh selaras dengan pengumuman Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) terhadap tindakan menghentikan permit pengeluaran lesen import (AP) sisa plastik HS KOD 3915 terhadap 114 buah syarikat.

Kerajaan Negeri kini selaras dengan ketetapan KPKT dan menyokong sepenuhnya langkah tersebut.

Seperti mana yang dicadangkan oleh Menterinya, Zuraida Kamaruddin iaitu semua kilang adalah digalakkan membuat permohonan semula dengan PBT.

Justeru, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS), Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) akan memantau pematuhan operasi kilang-kilang yang mengimport sisa plastik supaya selaras dengan undang-undang yang berkuatkuasa,” ujarnya yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu pada sidang media sebentar tadi.

Untuk rekod, difahamkan sebanyak 27 syarikat atau kilang di Pulau Pinang diberikan lesen untuk memproses sisa plastik dengan kapasiti keseluruhan adalah berjumlah 109,655 tan metrik.

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar: ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI