GEORGE TOWN – Lembaga Wakaf Hindu Negeri Pulau Pinang (PHEB), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) serta pejabat Timbalan Menteri berkenaan menyalurkan bantuan kewangan sebanyak RM6,500 kepada keluarga mangsa tragedi banjir di Nepal bagi meringankan beban yang ditanggung mereka.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Lim Hui Ying berkata, PHEB menyalurkan bantuan sebanyak RM5,000 kepada keluarga yang terjejas, manakala Yayasan Kebajikan Negara (YKN) di bawah KPWKM, menyumbang RM500 kepada setiap keluarga.
Pada masa sama, beliau yang juga Ahli Parlimen Tanjong, turut mengumumkan sumbangan sebanyak RM1,000 kepada setiap keluarga melalui pejabatnya sebagai tanda keprihatinan dan sokongan kepada mereka yang sedang menghadapi tempoh sukar.
Walaupun bantuan ini tidak mampu menggantikan kehilangan insan tersayang, sumbangan ini diharap dapat meringankan beban kewangan keluarga yang terkesan, khususnya dalam memenuhi keperluan harian.
“Melalui keprihatinan, kebersamaan dan sokongan berterusan, kita berharap keluarga yang terjejas dapat merasakan bahawa mereka tidak bersendirian dalam menghadapi dugaan ini,” ujarnya ketika mengadakan kunjungan ke premis Lembaga Wakaf Hindu Negeri Pulau Pinang di sini pada 17 Oktober 2026.

Hadir sama, Pengerusi PHEB merangkap Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer; Timbalan Pengerusi PHEB, Senator Dr. R.A Lingeshwaran; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban merangkap Pesuruhjaya PHEB, A. Kumaresan; Pengarah YKN Zon Utara, Zulkifli Yaacob serta barisan jawatankuasa pengerusi kuil, wakil pertubuhan kerajaan dan ahli keluarga mangsa.
Menurut Hui Ying, bencana seperti banjir bukan sahaja menyebabkan kemusnahan harta benda, malah turut memberikan kesan emosi dan menjejaskan kesejahteraan keluarga yang kehilangan insan tersayang.
Justeru, beliau menegaskan bahawa sokongan kepada keluarga yang terjejas perlu merangkumi bukan sahaja bantuan kewangan dan keperluan asas, tetapi juga sokongan emosi serta psikososial.
Proses menghadapi kehilangan dan membina semula kehidupan memerlukan masa, kekuatan serta sokongan daripada orang sekeliling.
“Sekiranya keluarga yang terkesan memerlukan bantuan lanjut atau sokongan psikososial, perkhidmatan berkenaan boleh diperoleh melalui Talian Kasih 15999,” katanya.

Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada PHEB atas komitmen berterusan melaksanakan pelbagai inisiatif kebajikan, khususnya bagi membantu golongan B40 beragama Hindu.
Katanya, usaha berkenaan merangkumi bantuan kewangan bagi menampung kos rawatan perubatan, bantuan kepada golongan orang kurang upaya (OKU) serta bantuan kecemasan kepada individu dan keluarga yang ditimpa musibah.
Beliau juga berharap kerjasama antara agensi kerajaan, badan kebajikan dan komuniti dapat terus diperkukuh bagi memastikan kebajikan golongan yang memerlukan sentiasa mendapat perhatian.